Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 26, 2014

CADBURY DIGESA TUTUP KILANG




Ampang - Persatuan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Sukaguam hari ini mendesak syarikat pengeluar makanan Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd supaya menghentikan operasi dan perniagaan serta menarik balik semua produk mereka dari pasaran dengan serta-merta.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya dan pihak Sukaguam memandang serius terhadap pencemaran DNA babi (porcine) yang terdapat dalam dua daripada produk makanan iaitu Coklat Susu dengan Buah Badam dan Coklat Susu dengan Kacang Hazel yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut.

"Ini merupakan satu penipuan yang sangat licik dan harus dibendung supaya menjadi satu pengajaran kepada mana-mana syarikat yang sengaja menghancurkan umat Islam secara halus dari segi pemakanan halal."

"Syarikat itu tidak sepatutnya mengeluarkan produk tersebut di pasaran, apatah lagi dengan adanya pekerja Islam yang berkhidmat dalam syarikat tersebut, sekaligus menganiaya pekerja Islam di dalam organisasi mereka," katanya dalam sebuah sidang akhbar hari ini.

Sehubungan dengan itu, pihaknya dengan kerjasama Sukaguam mengambil keputusan untuk mengeluarkan saman ke atas syarikat tersebut di bawah Seksyen 50 Akta Perlindungan Pengguna.

"Kami akan kumpul sejumlah 80 NGO Islam di seluruh negara bagi mendapatkan sokongan mereka dan akan failkan saman ke atas syarikat Cadbury menjelang Isnin depan.

"Kami bukan sekadar tuntut kemaafan malah turut menuntut ganti rugi, jika syarikat tersebut tidak mampu bayar, tutup saja perniagaan," katanya lagi.

Beliau dalam pada itu mengingatkan kesemua syarikat produk pengeluar makanan dan minuman agar tidak mempersendakan dan menghormati sensitiviti umat Islam supaya isu seperti ini tidak akan berulang.

0 comments:

share2