Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 7, 2014

'BUKAN SENGAJA NAK TEBANG POKOK'




Kuala Lumpur - “Pokok-pokok itu bukan sengaja ditebang, tetapi kerana sudah mati dan membahayakan pengunjung,” demikian tegas Pengarah Jabatan Lanskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mustafa Mohd Nor, mengulas isu penebangan pokok di Taman Rimba Kiara yang menimbulkan rasa kurang senang penduduk setempat.

Beliau berkata, penebangan pokok-pokok berusia lebih 10 tahun itu merupakan sebahagian daripada rutin penyelenggaraan pokok yang dilakukan jabatannya.

Menurutnya, musim kemarau sebelum ini menyebabkan pokok-pokok di situ banyak yang sakit dan tidak boleh terus hidup dengan sempurna.

“Sifat pokok ini, jika mati akan kering di bahagian atas dahulu, jadi lama kelamaan ia akan mati dan boleh undang risiko tumbang.

“Jadi ia ditebang sebagai langkah awal, tambahan pula kedudukannya di antara pokok-pokok lain dan tidak begitu menjejaskan suasana redup.

“Perkara ini telah dijelaskan kepada persatuan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan mereka menerimanya dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan luahan penduduk TTDI yang tidak senang dengan tindakan itu yang dalam masa sama mendakwa tujuan pokok-pokok itu ditebang adalah untuk tujuan pembangunan kediaman.

ARTIKEL BERKAITAN: [ 'Tolong selamatkan pokok itu']

“Kurang daripada 30 batang yang ditebang, bukannya 50 seperti yang didakwa,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, selain pemantauan pokok-pokok secara kasar, jabatannya juga membuat pemeriksaan pokok menggunakan peralatan khas dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

“Lilitan akan dibuat di pokok-pokok besar sebelum diketuk untuk mengenal pasti rongga dalam batang pokok. Ini untuk tujuan pemuliharaan pokok-pokok lama dalam masa sama sebagai langkah mengelakkan pokok tumbang,” katanya.

0 comments:

share2