Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 7, 2014

MAT TAIB DIRAIKAN AIR MATA IBU



Ketika ke pasar besar Klang baru-baru ini saya terserempak dengan Mat Taib Husin, rakan yang saya kenali di awal 70-an. Orangnya peramah.

Katanya, walaupun lama tidak jumpa, dia ingat saya kerana kononnya saya selalu menulis sajak dalam akhbar.

Dia ikhlas beri penghargaan, cuma saya sebenarnya tidak pernah tulis sajak pun, kecuali dalam majalah tahunan di bangku sekolah hampir setengah abad yang lalu.

Tetapi tidak mengapalah. Itu tidak penting. Yang ingin saya nukilkan kali ini sebenarnya mengenai Mat Taib sendiri.

Mat Taib anggap dirinya 'orang kecil dan biasa sahaja’, tetapi saya melihat sebagai seorang wira berhati waja, yang mampu menjadi pembakar semangat dan sumber inspirasi kepada masyarakat.

Dari segi jawatan, dia mungkin belum mencapai apa-apa sangat setakat ini.

Sejak remaja, dia buat macam-macam jenis kerja; pernah jual kuih, ambil upah kerja di kampung, pelihara ayam, toreh getah, jadi nelayan, kerja di kilang dan jadi pembantu mes di kem tentera, antara lain.

Ketika saya kenal dia 43 tahun lalu, Mat Taib menjadi buruh di pelabuhan. Kemudian dia jadi pemandu forklift hinggalah memilih untuk bersara pada 1992.

Sejak itu dia berniaga di pasar malam dan mulai 2000 menambah kegiatan perniagaan dengan membuka gerai kecil di pasar besar Klang, menjual buku-buku agama, akhbar dan seumpamanya.

Berniaga di pasar malam dan jual buku agama itulah menjadi sumber pendapatannya selama hampir 30 tahun hingga sekarang.

Namun, dari segi menimba ilmu dan mengejar kelulusan akademik, saya tabik padanya.

Selepas darjah enam, Mat Taib, anak Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka, disuruh ibunya jual kuih.

“Ibu tak mampu cari belanja sekolahkan awak lagi. Awak tolong ibu jual kuih. Bila ada peluang dan rezeki nanti, pandai-pandailah awak sambung belajar,” kata ibunya ketika itu.

Terbukti cakap ibu menjadi doa baginya. Ketika mula bekerja, Mat Taib belajar sendiri dan ambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP); dua kali baru lulus. Lepas itu dia ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); dua kali juga baru lulus.

Berbekalkan SPM, Mat Taib mencuba nasib, memohon pekerjaan kerani dan seumpamanya di beberapa jabatan dan agensi, tetapi entah kenapa tiada satu pun memberi respons positif.

Tetapi bagi orang 'degil' yang tidak mahu menoleh ke belakang seperti Mat Taib, tiada sesiapa pun boleh melemahkan semangatnya untuk terus bergerak ke hadapan. Dia menyambung pelajaran dan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP); tiga kali baru lulus ‘sekadar cukup makan’.

Mungkin ramai akan berasa bosan dan menyerah kalah, tapi Mat Taib meneruskan cita-citanya. Dia akhirnya berjaya memiliki ijazah, selepas enam tahun mendaftarkan diri di Universiti Sains Malaysia (USM).

Semua peperiksaan, termasuk untuk ijazahnya, didudukinya sambil mengusahakan pasar malam di merata kawasan dan menyelenggara gerai buku.

Hujung tahun lalu, pada usia 66 tahun, Mat Taib mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang Antropologi & Sosiologi.

Dia mendapat tepukan bergemuruh ketika beratur bersama 1,660 graduan lain yang jauh lebih muda untuk menerima skrol pada konvokesyen ke-48 USM.

Kejayaannya itu menyentuh hati ramai orang dalam hidupnya; isterinya Maznah Baharin, anak tunggalnya, Mazlia Aini (yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang Undang-Undang Syariah tetapi memilih menjadi guru), saudara-mara dan kenalan rapat.
Semua menitiskan air mata menyaksikan dia menggenggam skrol. 

“Apabila saya naik ke pentas untuk menerima skrol, ibu saya turut menangis (kerana terharu)," katanya.

Apakah Mat Taib sudah puas hati?

“Saya sudah hantar permohonan untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Pengajian Islam.

“Tolong doakan untuk saya,” katanya.

0 comments:

share2