Ahmad Yunus
Sabak Bernam – Hasil analisis Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mendapati air lombong yang dipam untuk menambah aliran air di Sungai Selangor bagi memenuhi sumber bekalan air mentah di negeri ini mematuhi parameter ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, penduduk di negeri ini tidak perlu khuatir kerana hasil ujian analisis yang dijalankan itu mendapati ia selamat untuk digunakan.
Menurutnya, keputusan ujian menunjukkan parameter air yang digunakan normal dan tidak bermasalah seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak kononnya penggunaan air lombong itu memberi kesan kepada pengguna kerana tahap kualitinya yang rendah.
“Keputusan parameternya dalam keadaan normal, kerana air lombong yang diambil (dipam) di paras atas bukan di bawah. Contohnya kalau ada logam berat ini sekali pun, ia biasanya berada paras bawah,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad Yunus menjelaskan, usaha kerajaan negeri mengepam air di sembilan bekas lombong itu adalah bagi menambah sumber keperluan air mentah yang dirawat untuk kegunaan penduduk di negeri ini.
“Untuk makluman, kita belum guna air lombong ini pun, sebab paras air sungai kita mencukupi untuk kita rawat. Malah ada lebihan. Kita sedut dan simpan ke lombong,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 10,000 juta liter sehari (JLH) air lebihan ini disimpan pada kadar minimum untuk keperluan penduduk meskipun kadar taburan hujan tidak menentu di kawasan tadahan empangan.
“Selain itu, usaha kita adalah menjalankan pembenihan awan dan menunaikan solat iktikaf bagi mendoakan supaya hujan turun ke tadahan takungan,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri mempelawa semua pihak termasuk universiti tempatan yang berminat untuk membuat analisis mengenai tahap keselamatan air lombong yang disalurkan kepada pengguna di Lembah Klang.
Ahmad Yunus berkata, pendekatan itu diambil kerana timbul beberapa pertikaian dan keraguan daripada pihak tertentu.
“Analisis sampel air lombong berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan setiap tahun. Bahkan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) juga membuat kajian sampel air kolam daripada penganalisis Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).
“Sebab itu, kita buka kepada universiti tempatan termasuk profesor yang berminat atau ingin tahu boleh lakukan kajian,” katanya.
Katanya, tawaran menjalankan analisis berkenaan adalah untuk membuktikan bahawa kerajaan negeri telus.
“Kita buka kepada sesiapa yang berminat, tapi harus mendapatkan kebenaran daripada Luas terlebih dahulu kerana kawasan itu di bawah pewartaan mereka,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pakar penyelidik air menggesa kerajaan negeri membuktikan sebarang kelulusan daripada Kementerian Kesihatan berhubung tahap keselamatan air lombong yang dibekalkan kepada pengguna.
0 comments:
Post a Comment