Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 25, 2014

AKMAL LUPAKAN KESAKITAN UNTUK RAIH EMAS

ATLET Sabah kelahiran Melaka, Akmal Abdullah memendam kesakitan untuk terus beraksi di saingan akhir acara BMX 400m temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 Perlis.

Atlet berusia 18 tahun itu terpaksa berhadapan dengan kesakitan berulang di bahagian tendon kaki kanannya selepas mengungguli peringkat kelayakan.

"Kesakitan itu terasa semasa saya membuat henjutan bertenaga dalam peringkat kelayakan dan semakin sakit selepas peringkat separuh akhir.

"Saya bersyukur sebab berjaya meraih pingat emas. Saya juga mahu berterima kasih kepada semua jurulatih dan pegawai pasukan yang memberi keyakinan kepada saya untuk meneruskan saingan di sini," kata pelumba di ranking ke-96 remaja dunia dalam acara BMX.

Dalam saingan BMX 400m di Sungai Batu Pahat, di sini, hari ini, Akmal berjaya memintas pelumba Terengganu, Ahmad Syazrin Awang Ilah ketika menuju ke garisan penamat.

Beliau berjaya meraih pingat emas dengan catatan masa 52 minit 287s, iaitu 0.175s di hadapan Ahmad Syazrin yang terpaksa berpuas hari dengan pingat perak.

Sebaik sahaja melintasi garisan penamat, Akmal yang nyata tidak dapat menahan kesakitan terus mendapatkan rawatan akibat kecederaan itu dan beliau terpaksa dipapah oleh rakan-rakan sepasukannya untuk upacara penyampaian hadiah.

Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi pelumba Terengganu, Mohd Ibnu Hasyimie Omar dengan masa 55.468s.

Kontinjen Sabah juga mendominasi kategori wanita melalui Natahsya Soon dengan catatan masa 59.673s, diikuti Siti Aisyah Alias (Pahang) dan Siti Shahirah Hashim (Terengganu) masing-masing dengan catatan masa 1:01.288s dan 1:01.474s.

"Saya sememangnya menyasarkan kemenangan pingat emas dalam acara ini walaupun saya tahu saingan di sini agak sengit juga. Tumpuan saya kini dalam acara downhill basikal bukit pula. Saya juga mensasarkan pingat emas dalam acara itu," kata pelumba ranking pertama wanita elit kebangsaan itu.

Acara Berbasikal BMX temasya Sukma ke-17 yang sepatutnya bermula pada jam 9.30 pagi terpaksa ditunda hingga pukul 12 tengah hari selepas trek perlumbaan terpaksa diperbaiki akibat tanah menjadi lembut akibat hujan lebat malam tadi.

0 comments:

share2