Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 21, 2014

736 SEKOLAH DI PAHANG BAKAL MILIKI MINI MUZIUM




PEKAN - Kerajaan Pahang akan memastikan 736 sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri memiliki mini muzium masing-masing sebagai tambahan kepada pusat pembelajaran kokurikulum dan aktiviti luar kelas khususnya berkaitan sejarah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, setakat ini hanya lima buah sekolah di negeri ini yang mempunyai muzium mereka sendiri untuk mempamerkan barang-barang bersejarah yang terdapat di sekolah mereka.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai, SMK Dato Mahmud Mat, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Biram, SK Permatang Keledang dan SK Ganchong yang kesemuanya terletak di Pekan.

"Untuk itu kerajaan negeri melalui Jabatan Muzium negeri akan mempergiatkan lagi usaha bagi memastikan semua sekolah di negeri ini memiliki mini muzium masing-masing mengikut tema mereka sendiri.

Sebagai permulaan, kita akan pastikan pada hujung tahun ini setiap sekolah di semua daerah di negeri ini akan ada mini muzium masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah mengadakan lawatan ke mini muzium di lima buah sekolah di daerah Pekan hari ini.

Menurutnya, pada masa yang sama pihak sekolah dinasihatkan menyimpan dokumen atau rekod yang melebihi sepuluh tahun di Arkib Negara demi memastikan bahan itu terjaga rapi supaya tidak dilupakan oleh generasi akan datang.

Katanya, penubuhan mini muzium itu juga bertujuan untuk mendidik pelajar menghayati sejarah dan tinggalan masyarakat dahulu kerana muzium berperanan penting dalam memberi pendidikan berhubung perkara itu.

Selain itu, katanya ia juga dapat mewujudkan kesedaran terutamanya pelajar sekolah tentang kepentingan pemeliharaan, pemuliharaan warisan budaya dan sejarah.

"Langkah ini akan dapat menerapkan perasaan dan semangat cintai sejarah selain menyemai minat untuk berkunjung ke muzium bagi melihat barangan atau artifak yang sudah tiada lagi pada masa kini," katanya.

Dalam pada itu katanya, pihak sekolah melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) boleh memohon peruntukkan daripada kerajaan negeri kira-kira RM10,000 untuk tujuan membangunkan mini muzium di sekolah masing-masing.



0 comments:

share2