Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 21, 2014

5 ANAK BERANAK EDAR DADAH




KUALA TERENGGANU – Polis menahan lima beranak termasuk tiga beradik berusia antara 25 dan 29 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kelima-lima suspek ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Pangsapuri Ladang Gemilang dan Kampung Pengkalan Setar, di sini, Ahad lalu.

Hasil serbuan, polis merampas heroin seberat 32.5 gram dan pil kuda seberat 199.3 gram serta tunai berjumlah RM44,000 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM72,000.

“Serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam dan risikan sejak April lalu yang mendapati terdapat aktiviti pengedaran dadah khususnya pil kuda dan heroin di kawasan Ladang, Tanjung dan sekitar pusat bandar raya Kuala Terengganu.

“Dalam serbuan pertama jam 6 petang di Pangsapuri Ladang Gemilang, polis menahan dua wanita pasangan adik beradik masing-masing berusia 25 dan 27 tahun, serta seorang lagi remaja perempuan berusia 15 tahun yang juga sepupu mereka.

“Polis turut menemui tujuh botol plastik cerah bertudung kuning disyaki dadah heroin seberat 32.5 gram bernilai RM4,000 yang disorokkan di dalam bungkusan surat khabar, diikat dengan dawai dan diletakkan di dalam almari pakaian,” katanya.

Seterusnya, pada jam 8 malam, pasukan polis sama menyerbu sebuah rumah di Kampung Pengkalan Setar dan menahan seorang wanita yang juga kakak ipar kepada dua adik-beradik yang ditahan di Pangsapuri Ladang Gemilang.

“Hasil siasatan terhadap wanita itu mendapati padanya terdapat wang tunai RM44,000 yang dipercayai hasil kegiatan menyalahi undang-undang.

“Polis turut menahan suami wanita itu yang dikenal sebagai Benjo berusia 29 tahun yang ketika itu datang ke balai polis untuk bertanya mengenai tangkapan terhadap adik-adiknya,” katanya.

Hasil siasatan, lelaki itu mengaku terdapat lagi barang yang masih disorok sebuah beg pakaian berwarna biru yang diletakkan di dalam rumah di pangsapuri Ladang Gemilang mengandungi 10 peket pil kuda berjumlah 1,993 biji seberat 199.3 gram dengan anggaran harga pasaran RM24,000.

“Polis menyerbu kembali rumah tersebut jam 1.30 pagi. Nilai keseluruhan rampasan bagi ketiga-tiga serbuan ialah RM72,000 yang merupakan rampasan ketiga terbesar tahun ini,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan mereka ditahan reman selama tujuh hari dan didakwa di bawah Seksyen 39B Kanun Keseksaan Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Zamri berkata, dengan tertangkapnya lima suspek itu, pihaknya berharap dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di kawasan itu.

“Kita telah mengenal pasti tujuh sindiket mengedar dadah di Kuala Terengganu. Tiga sindiket telah ditangkap dan kita masih mengesan empat sindiket yang lain.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah diminta menyalurkannya ke IPD Kuala Terengganu,” katanya.



0 comments:

share2