Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 21, 2014

BERDEPAN BANJIR KERANA TIADA SISTEM SALIRAN SEMPURNA




KUANTAN - Penduduk sekitar Perkampungan Tradisional Bukit Setongkol di sini menggesa pihak bertanggungjawab membina longkang di taman perumahan bersebelahan petempatan mereka bagi mengelakkan masalah banjir kilat.

Penduduk, Zainuddin Sapuan, 55, berkata, semakin banyak projek perumahan di sini, mereka derita apabila aliran air yang sepatutnya mengalir di longkang besar membanjiri tempat tinggal mereka.

Menurutnya, banjir penghujung tahun lalu mencatat sejarah dalam hidupnya apabila air banjir sehingga aras bumbung rumah.

“Kebiasaannya, air hanya separas lutut dan berlalu sejam dua sahaja, tetapi banjir Disember lalu benar-benar membuatkan kami tidak lagi rasa Selamat,” katanya.

Selain itu, beberapa kawasan perumahan dikatakan tidak mempunyai longkang untuk aliran air mereka, menyebabkan penduduk kampung tinggal dalam keadaan becak.

Bagi Zulkiflu Abdul Shukor,40 berkata, keadaan ini menyebabkan penduduk kampung tradisional terus dibelenggu dengan masalah dari awal hingga penghujung tahun.

“Kawasan belakang perumahan di sini ibarat sebuah sungai kecil yang turut dicemari dengan sampah sarap.

“Pernah beberapa kali penduduk terlihat anak buaya tembaga di sini dan tidak mustahil ada ibunya sekali.

“Jika keadaan tidak dikawal, saya bimbang penduduk menjadi mangsa haiwan ini ataupun binatang berbisa yang lain,” katanya.

Nasib penduduk mendapat perhatian Adun Teruntum, Sim Chong Siang.

Menurut Sim, pihaknya akan memanjangkan masalah ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut.

“Saya harap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.



0 comments:

share2