Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 3, 2020

PAHANG PERLUKAN HAMPIR 10 RIBU PPE SETIAP HARI



KUANTAN –  Hampir 10,000 unit PPE diperlukan setiap hari di hospital dan pusat kurantin di Pahang kerana selain petugas kesihatan, PPE turut digunakan oleh petugas sokongan seperti pekerja pembersihan dan penyajian makanan.


Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata mereka memerlukan bahan itu dalam kuantiti yang banyak supaya petugas kesihatan dan mereka yang terlibat dengan pesakit COVID-19 tidak risau dengan kekurangan PPE.


Kerajaan negeri Pahang memohon pembekal atau kilang yang menghasilkan material membuat peralatan perlindungan diri (PPE) untuk membantu membekalkan bahan itu bagi kegunaan petugas yang mengendalikan kes COVID-19 di negeri ini. 


"Kita mendapatkan material membuat PPE dari Kuala Lumpur namun keperluan menghasilkan PPE dalam kuantiti yang banyak menyebabkan kita perlu mencari lebih ramai pembekal, sama ada mereka mahu menderma atau menjual.


"Kita tidak mahu mereka yang bertugas mengendalikan pesakit COVID-19 risau dengan kekurangan PPE atau perlu menghasilkan PPE sendiri. Tugas mereka sudah sedia sibuk dan jangan disukarkan lagi urusan mereka," katanya.


Sallehuddin berkata demikian selapas meninjau proses pembuatan pelindung muka secara sukarela oleh 60 pelajar Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini, melibatkan mereka yang tidak dapat pulang selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Beliau berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kesukaran dari aspek tenaga kerja untuk menghasilkan PPE kerana menerima banyak bantuan daripada agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO).


"Kita juga mengalu-alukan lebih ramai NGO untuk turut sama membantu petugas barisan hadapan. Mereka yang berminat perlu menghubungi Pejabat Kerajaan Negeri Pahang bagi mendapatkan material selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pembuatan PPE," katanya.



SUMBER -- BERNAMA

0 comments:

share2