Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 18, 2020

PERKUKUHKAN PENGUATKUASAAN DI TAPAK RAMSAR TASIK BERA –MB PAHANG




WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyarankan agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat meningkatkan kerja-kerja penguatkuasaan demi kelestarian Tapak RAMSAR Tasik Bera.


“Tapak RAMSAR Tasik Bera yang berkeluasan 31,255 hektar, sepatutnya terpelihara alam sekitarnya memandangkan kewujudan zon penampan yang mengelilinginya sehingga seluas kira-kira 77,380 hektar atau lebih sekali ganda keluasan tapak berkenaan.


“Oleh itulah, Kerajaan Negeri menekankan tentang kepentingan aspek penguatkuasaan yang diharap dapat diambil oleh Jabatan Perhilitan – sebuah jabatan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS),” tegasnya.


Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan pagi ini, Selasa, 18 Februari. Ia sebagai mengulas laporan berita dalam 2-siri pada Ahad, 16 Februari dan semalan, Isnin, 17 Februari mengenai Tapak Ramsar Tasik Bera itu oleh akhbar bercetak Berita Harian. 


Menurut beliau,  Jabatan Perhilitan juga dilantik mengetuai Unit Pengurusan Tapak Ramsar Tasek Bera (UPTRTB) dengan bantuan jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perikanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli, dan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser atau kini dikenali Tourism Pahang.


Sejak UPTRTB diwujudkan menerusi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada tahun 1999, semua perancangan pembangunan di Tasik Bera mestilah berpandukan kepada pelan Pengurusan Bersepadu Tasik Bera sepertimana disediakan oleh Wetlands International Asia Pacific.


Pada tahun lepas (2019), Pelan Pengurusan Bersepadu Tapak RAMSAR Tasik Bera yang disediakan oleh Jabatan Perhilitan dengan kerjasama KATS dan Kerajaan Negeri pula diperkenalkan, demi memastikan semua pelaksanaan pembangunan mampan di tasik itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.


Selain itu, Rancangan Kawasan Khas (RKK) mengenai pengurusan pembangunan bagi pemuliharaan Tapak Ramsar Tasik Bera juga disediakan oleh Majlis Daerah Bera (MDB) dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Negeri atau kini, PlanMalaysia@Pahang.


RKK ini yang diperkenalkan tahun lepas juga, bermatlamat untuk mengukuhkan lagi pemuliharaan Tapak Ramsar Tasik Bera serta memastikan pembangunan di kawasan persekitaran terutamanya pertempatan Orang Asli, tidak menjejaskan tapak berkenaan.


Dengan inisiatif-inisiatif yang disebutkan ini, seharusnya tiada isu khususnya bekenaan pencemaran alam sekitar yang timbul di Tapak RMASAR Tasik Bera ini namun laporan mengenainya terutamanya tentang pencerobohan dan kemusnahan alam sekitar, masih dilaporkan juga.


Ini masih berlaku disebalik tahun lepas, 22 rondaan penguatkuasaan dijalankan oleh Jabatan Perhilitan dengan tindakan-tindakan antara lainnya –


Mengenalpasti dan bertindak ke atas kawasan hutan dicerobohi haram dan memastikan tiada pembalakan haram, memusnahkan jerat-jerat binatang serta pondok-pondok pemburu haram, serta, menjalankan pemeriksaan ke atas orang awam yang ditemui untuk mengetahui tujuan kehadiran mereka dalam kawasan berkenaan.   


Oleh itulah Kerajaan Negeri berharap, kerja-kerja penguatkuasaan dapat diperkukuhkan lagi, sambil meminta semua pihak untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan matlamat memelihara Tapak RAMSAR Tasik Bera ini.


Sumber  – Khabar Pahang
http://khabarpahang.blogspot.com/2020/02/tingkatkan-lagi-penguatkuasaan-demi.html?m=1

0 comments:

share2