Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 19, 2020

OBOR-OBOR API ATAU PORTUGESE MAN O WAR DIKESAN DI PERAIRAN NEGARA




KUANTAN - Golongan nelayan di negeri ini dinasihatkan supaya tidak memegang obor-obor api atau Portuguese Man O War jika hidupan air itu tersangkut pada pukat.


Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman berkata, racun yang terdapat pada obor-obor tersebut amat merbahaya kerana boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.


Menurutnya, hidupan air itu kebiasaannya mendiami lautan Pasifik, tetapi kini obor-obor bersaiz kecil dan beracun itu kini ditemui di perairan negara sehingga menimbulkan kebimbangan semua pihak.


"Kita minta nelayan yang melihat atau menjumpai obor-obor api tersebut segera hubungi pejabat perikanan daerah untuk tujuan siasatan.


"Apabila terdapat maklumat mengenai kewujudan obor-obor api itu, hebahan dapat dilakukan sebagai peringatan kepada orang ramai termasuk mereka yang terlibat dengan aktiviti di pantai atau di laut,” katanya ketika dihubungi Sinar.


Azahari berkata, antara ciri obor-obor api itu sebahagian badannya berwarna biru dan mempunyai beribu sel penyengat.


“Sengatannya boleh menyebabkan mangsa rasa sakit kepanasan hingga kulit seperti terbakar. Justeru, kita ingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengelak daripada menyentuh hidupan itu jika terjumpa,” katanya.


Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh haiwan itu walaupun ditemui dalam keadaan mati kerana racunnya masih ada dan aktif jika tersentuh.


Dalam pada itu, Azahari turut menasihatkan pengunjung pantai di negeri ini dan individu yang melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan pantai supaya lebih berhati-hati bagi mengelak terkena obor-obor api yang mungkin muncul tanpa disedari.


"Racun yang terdapat pada obor-obor api ini begitu merbahaya. Sekiranya haiwan itu ada di temui di mana-mana kawasan pantai, elakkan daripada melakukan aktiviti di kawasan itu termasuk mandi-manda.


"Obor-obor api ini dilaporkan ditemui di Terengganu dan Johor sebelum ini dan tidak mustahil ia turut muncul di perairan negeri ini," katanya.



Beliau berkata, pantai Pulau Tioman mungkin terdedah dengan kehadiran obor-obor api terutama selepas hidupan air masin itu ditemui di perairan Johor bulan lalu.


Katanya, faktor arus air laut yang berarus angin kencang membolehkan hidupan air terbabit sampai pada bila-bila masa di kawasan perairan negeri ini.



Azahari menambah agensi pelancongan juga perlu peka dalam isu ini dengan mengawasi sebarang aktiviti di laut termasuk memantau aktiviti selaman dan mandi manda dalam kalangan pelancong.


SUMBER : SINAR HARIAN

0 comments:

share2