KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan bermesyuarat
bersama pimpinan PKR, DAP, dan Amanah lewat malam ini, beberapa jam selepas
majlis makan malam timbalannya, Mohamed Azmin Ali bersama pimpinan Umno, PAS
dan PPBM di Petaling Jaya.
Perkembangan ini menyusuli cakap-cakap mengenai penyusunan
baru politik yang bakal menyaksikan kawan dan lawan membentuk gabungan
pemerintah baru tersebar luas.
“Anwar jumpa pemimpin PKR, Amanah dan DAP malam ini,” kata
setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kepada pemberita di
kediaman rasmi Anwar.
Beliau bagaimanapun tidak beritahu lokasi mesyuarat itu.
Sejak awal pagi, Lembah Klang “sibuk” dengan cakap-cakap
Mahathir akan memimpin satu langkah politik untuk menendang keluar DAP daripada
Pakatan Harapan (PH) yang berjaya merampas kuasa kerajaan berikutan kemenangan
bersejarah gabungan politik itu pada pilihan raya umum Mei 2018.
Perubahan politik di Putrajaya akan menamatkan penglibatan
DAP dalam kerajaan persekutuan, sementara parti berteraskan orang Melayu
dijangka memainkan peranan dominan dalam gabungan baru politik yang bakal
muncul.
Bulan lepas, FMT melaporkan pertemuan peribadi antara
Mahathir dengan presiden PAS, Abdul Hadi Awang mungkin memberi isyarat tentang
penyusunan semula kuasa politik di Putrajaya, langkah yang mungkin mengetepikan
DAP, dan khususnya, menggagalkan cita-cita Anwar menjadi perdana menteri.
Penyusunan baru itu akan menyatukan kumpulan politik yang
menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di nusa teras Melayu di wilayah utara
Semenanjung.
SUMBER : FMT
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/02/24/anwar-pkr-dap-amanah-bermesyuarat-malam-ini/
0 comments:
Post a Comment