Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak layak bersuara kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya menguruskan ekonomi negara dengan baik, bidas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ini kerana katanya, Setiausaha Agung Dap itu sendiri gagal sebagai Menteri Kewangan yang turut bertanggungjawab menguruskan ekonomi negara.
“Satu tahun lima bulan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, bukan sahaja rakyat Malaysia yang kata tetapi laporan daripada badan-badan antarabangsa telah menyebut bahawa ekonomi kita sebenarnya merudum.
“Ringgit Malaysia begitu teruk sekali berbanding dollar Amerika, Bursa Saham kita berada pada paras kritikal dan bagaimana dia hendak sebut kerajaan (PH) ini boleh menguruskan ekonomi.
“Itu belum lagi bercakap berkenaan perniagaan domestik dan perdagangan dalam negara. Jadi sekarang ini keresahan rakyat adalah berkaitan ekonomi, kos sara hidup, harga barang meningkat dan ketidakselesaan,” tegasnya lagi kepada UMNO Online ketika ditemui di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Rimba Terjun malam tadi.
Semalam, ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Guan Eng menyeru pengundi agar memilih parti yang pandai mengurus ekonomi negara serta tidak terlibat dengan isu perkauman, rasuah dan fitnah.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 16 Nov, Sabtu manakala undi awal ditetapkan pada 12 Nov, Selasa.
PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN) diwakili calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, PH Karmaine Sardini, Gerakan Wendy Subramaniam, Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua dari Bebas, Dr Ang Chuan Lok serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.
Menyentuh mengenai isu rasis, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata keharmonian antara pelbagai kaum yang terjalin sebelum ini adalah disebabkan kejayaan dasar UMNO dan Barisan Nasional (BN) mentadbir sebelum ini.
“62 tahun UMNO dan Barisan Nasional memerintah. Kalau kita rasis amal perkauman takkan negara baik begini.
“Sekarang baru setahun lima bulan, yang menganjurkan soal rasis ini adalah parti Dap sendiri.
“Keresahan orang Melayu itu adalah kerana Dap. Dap yang buat macam ini. Sebab itu tak boleh kata parti lain (amalkan rasis) sedangkan Dap itu sendiri (rasis),” katanya lagi.
Hakikatnya ujar Mahdzir, jika UMNO dan BN mengamalkan rasis, nescaya negara ini tidak terbina atas semangat kepelbagaian kaum yang wujud sehingga ke hari ini.
Untuk rekod, Guan Eng pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerjasama UMNO PAS merupakan pengistiharan perang untuk bukan Melayu manakala Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari Dap, Nga Kor Ming pula berkata kerjasama tersebut akan wujudkan negara Taliban.
0 comments:
Post a Comment