Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 25, 2019

[MARAN] RUGI DIPERDAYA RAKAN 'KLON'






Seorang lelaki mendakwa kerugian RM9,500 selepas diperdayakan individu yang menyamar sebagai rakannya untuk meminjam wang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 53 tahun mendakwa dihubungi suspek pada petang Selasa lepas.

Katanya, suspek memperkenalkan diri sebagai ‘Gan’ dan secara kebetulan mangsa sememangnya mempunyai rakan dengan nama tersebut.

“Suspek memberitahu sudah menukar nombor telefon hanya berbual kosong sebelum kembali menghubungi mangsa pada tengah hari semalam untuk meminjam wang.

“Mangsa diminta memasukkan wang ke dalam akaun baharu dan dia tidak mengesyaki apa-apa kerana Gan sering meminjam wang dan membayar semula,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa menyedari dia ditipu apabila terserempak Gan di pekan semasa membeli barang petang semalam, lantas bertanya mengapa dia tidak menjawab mesej di aplikasi WeChat berhubung salinan resit transaksi pemindahan wang itu.

Gan, menurut mangsa memberitahu tidak ada menerima apa-apa mesej dan tidak pernah menghubungi mangsa beberapa hari sebelum dikatakan menukar nombor telefon.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.


0 comments:

share2