Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 2, 2019

HINA AGONG : 20 NGO BUAT LAPORAN POLIS




Kuantan,  -  Dua puluh badan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan badan politik di daerah ini membuat laporan polis berhubung kenyataan seorang pengguna laman sosial yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.


Kadi Daerah Kuantan Abdul Zaki Md Zain berkata laporan itu dibuat terhadap pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Desmond Yongkor yang didakwa telah memuat naik gambar bersama kenyataan menghina Sultan Abdullah.


Katanya, antara pihak yang membuat laporan hari ini ialah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Badan Kebajikan Kerabat-kerabat Pahang, Gerakan Anak Melayu Pahang, Malaysia Relief Agency Pahang, Persatuan Kaum Kochow Kuantan, Persatuan Penghulu-penghulu Pahang, serta Gabungan UMNO Kuantan.


“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai rakyat, kita perlu lebih beretika dalam mengeluarkan sebarang kenyataan apatah lagi yang merendahkan Sultan Abdullah yang diketahui amat rapat dengan rakyat.


“Laporan ini juga bagi mempertahankan Sultan yang menjadi tonggak agama, bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.


Abdul Zaki menambah hampir 100 masjid di daerah ini juga diminta membuat laporan polis berkaitan perkara itu.


Wakil NGO, Mohd Sahril Abdullah yang juga Ketua Penerangan UMNO Kuantan menyifatkan penghinaan kepada ketua negara sebagai satu tindakan yang melampaui batas.


“Kami mahu supaya siasatan kes ini disegerakan supaya tindakan sewajarnya dapat dilakukan ke atas pemilik akaun berkenaan.


“Kita tidak mahu pelaku berkenaan hanya membuat permohonan maaf sahaja tetapi diharap dia dikenakan hukuman yang berat bagi memberi pengajaran kepada rakyat,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali memberi jaminan siasatan untuk mengenal pasti pemilik sebenar akaun Facebook itu akan dilakukan segera.


“Kita juga akan bekerjasama dengan beberapa pihak lain seperti Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan merujuk kepada Bukit Aman dalam kes ini,” katanya.


Mohamad Noor juga memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak mencuba atau berniat untuk melakukan perbuatan menghina dan melakukan provokasi kepada institusi beraja terutamanya melibatkan Yang di-Pertuan Agong.



-- SUMBER

0 comments:

share2