Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 7, 2018

PH “KERAJAAN KOKTEL", GAGAL BERFUNGSI







Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata, PH gagal berfungsi secara berkesan sebagai kerajaan kerana pertembungan perbezaan idelogi parti-parti yang membentuk gabungan PH terlalu kuat.

“Kerajaan hari ini umpama cocktail government .. di dalamnya campuran ideologi berbeza, ada sosialisma, ada Malaysian Malaysia, ada sikit jaga Bumiputra, yang bertembung di alam realiti.

“Akibatnya, bila timbul isu seperti ICERD di mana DAP adalah penajanya, berlaku kekeliruan. Bersatu tak setuju, Amanah tak setuju, PKR sekejap setuju, sekejap tak setuju. Sepatutnya, kita mesti berpegang kepada realiti iaitu acuan terbaik yang berjaya membina Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan, bukan acuan luar,” kata Setiausaha Agung UMNO.

Beliau berkata demikian dalam program FB Live Diskusi U3.0 Penerangan UMNO yang dimoderatorkan oleh Tun Faisal Ismail Aziz, aktivis media siber.

Tan Sri Annuar berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri berdepan dengan senario di mana di dalam PH sendiri sudah ada gerakan yang “menikam Perdana Menteri dari belakang.”

Katanya, di kalangan rakyat, mereka sudah muak dengan tindakan kerajaan yang asyik menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahan mereka

Tambah beliau tindakan kerajaan mengetengahkan isu ratifikasi ICERD bukan saja mengugat keharmonian kaum yang sudah dibina tetapi ia juga lari daripada keutamaan sebenar rakyat iaitu mahukan kehidupan lebih baik, seperti yang dijanjikan PH.

“Rakyat tidak menukar kerajaan kerana hal hal berkaitan diskriminasi kaum tetapi kerana mahukan harga barang yang murah, peluang kerja dan kos sara hidup lebih baik”, ujar beliau.

Malangnya, kata Annuar, kerajaan sekarang adalah sebuah kerajaan gagal (failed government) yang bukan saja tidak berjaya menangani keperluan rakyat, tetapi juga gagal pertahankan rizab negara daripada jatuh, gagal mengawal hutang negara, malahan gagal uruskan ekonomi dengan baik.

“Selama mana kerajaan hendak hidup dengan pendekatan blaming game (menyalahkan orang lain) ? Sebagai contoh, asyik memainkan isu 1MDB, sedangkan rakyat dah muak, malah kerajaan sendiri dah ditegur oleh Tun Daim dan Dato Kadir Jasin.

“Kerajaan seolah olah masih dalam suasana bulan madu, perdana menterinya asyik menyalahkan orang lain”, ujarnya.

Sebahagian menteri tambah beliau ada yang berjaya ketengahkan agenda mereka tapi sebahagian yang lain masih tengah seronok baru dilantik menteri, sebahagian lagi gagal dalam tugas sehingga tak mampu buat penjelasan isu isu di media.

Tegasnya dalam ketika kerajaan belum berjaya membuktikan apa apa kejayaan setakat ini, janganlah pula ia terus merosakkan asas (fundamental) ekonomi, sistem percukaian, sistem tadbir urus negara sehingga menjadi lebih teruk, umpama tikus membaiki labu.

Kesannya, kata beliau, akan dirasai oleh rakyat apabila peluang pekerjaan berkurangan dan perniagaan merudum.

Ujarnya lagi rakyat mengharapkan kerajaan Malaysia Baru menunaikan janji pilihan raya kerana mereka memerlukan rumah yang lebih baik, harga minyak yang lebih murah, tol yang lebih murah, sistem pelajaran yang lebih baik dan kos sara hidup yang lebih rendah.

“Janganlah kerajaan terus permainkan rakyat. Jangan buat sesuatu untuk keuntungan jangka pendek. Jangan cuba baling lumpur kepada lembu, kemudian duduk diam dan salahkan orang lain, ” kata beliau.


0 comments:

share2