Georgetown - Kesal dengan tindakan kerajaan negeri menolak permohonan agensi pusat untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Negeri Pulau Pinang.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun ditolak tanpa sebarang alasan spesifik, pihaknya menerima keputusan itu dengan redha.
Walaupun tidak mahu perkara ini dipolitikkan, beliau sedih dan terkilan apabila permohonan untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Negeri ditolak tanpa sebab .
"Jika kerajaan negeri tidak mahu buat (perarakan), tidak mengapa, itu hak masing-masing dan pilihan mereka. Bagi saya, perarakan ini sejak dari dulu lagi tidak pernah menimbulkan rasa tidak senang pada semua kaum.
"Saya juga terkilan apabila perarakan ini dilihat seperti satu 'masalah' apabila kita minta kebenaran melalui surat rasmi, dibalas dengan surat penolakan. Ia seolah-olah satu aktiviti yang nemudaratkan," katanya kepada media selepas menghadiri sambutan dan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri di Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Reezal yang juga Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang berkata, kerajaan negeri tidak mengalami sebarang kerugian jika membenarkan agensi kerajaan pusat mengadakan sambutan itu di Masjid Negeri seperti perancangan awal.
"Saya minta kerajaan negeri faham kerana mereka tidak akan rugi apa-apa jika memberi kebenaran,. Malah, mereka akan dipandang tinggi kerana membenarkan kita mengadakan sambutan di situ dengan mengenepikan soal politik. Masjid Negeri adalah ikon keislaman di negeri ini, sebab itu kita pilih.
"Seperti hari ini, kerajaan negeri mengadakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas. Ia masjid yang dibina kerajaan pusat namun kita tidak ada masalah jika ia mahu digunakan untuk kebaikan. Kita tidak akan halang dan tidak pernah menghalang," katanya.
Menurutnya, surat penolakan itu ditandatangani Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan diserahkan kepadanya pada 23 Disember lalu.
"Saya pasti, beliau hanya menjalankan tugas. Kita faham, tugasnya hanya menerima arahan. Saya tidak salahkannya.
"Kita terima dan alhamdulillah walaupun majlis ditukarkan tempat ke USM, sambutan itu amat menggalakan. Seperti yang dimaklumkan, kita akan adakan sambutan dan perarakan ini sebagai acara tahunan," katanya.
0 comments:
Post a Comment