Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 13, 2018

AKTA HASUTAN MASIH RELEVAN - BEKAS IGP






Selepas dua tokoh perundangan negara menggesa supaya kerajaan Pakatan Harapan mengekalkan Akta Hasutan 1948, hari ini dua bekas Ketua Polis Negara yang cukup dihormati tampil menyuarakan pandangan sama.

Menurut kedua-duanya, akta yang diperkasakan selepas peristiwa 13 Mei 1969 itu perlu dikekalkan bukan untuk menyekat hak kebebasan bersuara mana-mana pihak, sebaliknya bertujuan mengelak daripada berulang masalah ketegangan kaum dan agama di negara ini.

Tun Hanif Omar berkata, biarpun generasi hari ini memiliki pendedahan dan pemikiran yang agak berbeza berbanding mereka yang lahir ketika pra atau pasca merdeka, namun Akta Hasutan masih relevan untuk dikekalkan kerana demografi kaum negara ini bersifat kompleks.

Jelas beliau yang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara selama 20 tahun dari 1974 hingga 1994, keadaan itu tidak sama dengan peratusan kaum negara lain yang memiliki jurang agak besar dan mempunyai latar belakang, kepercayaan, budaya dan bahasa hampir sama, berbanding rakyat Malaysia yang ternyata segalanya berbeza.

“Atas sebab itu, Akta Hasutan masih diperlukan kerana secara realitinya perpaduan di negara ini masih rapuh. Buktinya orang kita masih mudah dijolok dan cepat ‘melatah’ atau ‘melenting’.

“Jadi sama ada suka atau tidak, Akta Hasutan ini memang tujuannya untuk menyekat mana-mana pihak daripada bersuara secara melampau sehingga boleh mengakibatkan ketegangan dan rusuhan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Kelmarin, dua tokoh perundangan terkemuka negara, iaitu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan Pre­siden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mahu kerajaan Pakatan Harapan menilai semula komitmen mereka untuk memansuhkan Akta Hasutan demi kestabilan negara selain menyifatkan kebebasan bersuara tidak boleh bersifat mutlak.

Sementara itu, Tan Sri Musa Hassan pula berkata, tiada sebab untuk Akta Hasutan dimansuhkan kerana beberapa negara lain turut memiliki peruntukan undang-undang yang serupa iaitu untuk menjaga keharmonian dan keselamatan kaum.

Katanya, contoh mudah di Thailand, terdapat perundangan yang menyekat mana-mana pihak daripada menyentuh perkara berkaitan dengan kedudukan dan kedaulatan institusi diraja negara tersebut.

“Cuba tunjuk kepada saya, mana ada rakyat Thailand berani menghina atau bercakap mengenai raja-raja mereka. Begitu juga di Amerika Syarikat, mereka dilarang sama sekali menghina kaum lain,” katanya.

Tegas Musa yang memegang jawatan tersebut dari 2006 hingga 2010, hak rakyat untuk bersuara masih dibenarkan meskipun Akta Hasutan dikekalkan tetapi ia bukanlah secara bebas tanpa sebarang kawalan yang sepatutnya.

“Tindakan tidak boleh diambil tanpa siasatan polis yang bertanggungjawab membuat penilaian terlebih dahulu, sama ada kenyataan yang dikeluarkan bersifat kritikan semata-mata atau berbaur hasutan,” katanya.


0 comments:

share2