Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 13, 2018

EMPAT SEBAB TINDAKAN DR MAHATHIR PINJAM KREDIT YEN DIPERSOALKAN






Kuala Lumpur – Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Shahril Suffian Hamdan, hairan dengan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang memohon pinjaman dalam mata wang yen untuk menyelesaikan hutang negara.

Ujarnya, apa yang menghairankan adalah kerana hampir semua hutang kerajaan adalah dalam ringgit dan hanya dua peratus daripada RM700 bilion hutang kerajaan dalam mata wang asing termasuk yen.

“Kedua, risiko untuk negara muflis lebih tinggi apabila kita meminjam dalam mata wang asing seperti yen kerana terdedah kepada naik turun kadar tukaran matawang ringgit-yen dan juga kadar faedah negara Jepun.

“Ketiga, negara tidak akan muflis apabila meminjam dalam mata wang sendiri kerana pengeluaran ringgit dikawal oleh Bank Negara Malaysia, jadi tak timbul isu negara akan muflis dengan 98 peratus daripada hutang kerajaan didenominasi dalam ringgit.

“Hutang kerajaan ni bukan macam hutang kita, individu atau isu rumah,” ujarnya melalui kenyataan dalam facebooknya hari ini.

Tegasnya, dalam bahasa mudahnya, individu kalau berhutang, tidak ada bank sendiri tetapi kerajaan ada bank sendiri dan bank pusat yang boleh ‘cetak’ ringgit bila-bila masa namun tidak perlu terlalu ghairah sehingga inflasi menjadi tinggi.

“Sebab itu teknikalnya, sesebuah kerajaan mana-mana dunia takkan boleh ‘default’ atau muflis dari hutang matawang sendiri.”

Sebab keempat yang mengahirankan katanya, negara masih berhutang berbilion ringgit kepada negara Jepun yang mana hutang-hutang bilateral ini dibuat pada tahun 90-an untuk projek khusus seperti Projek Pembangunan Luar Bandar, pembinaan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), projek Empangan Beris, projek pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan banyak lagi.

“Tindakan Tun Dr. Mahathir menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penyelesaian.

“Kalau pinjaman daripada kerajaan Jepun dibuat untuk projek-projek pembangunan, tidak mengapa tapi pinjaman ini katanya dibuat untuk selesaikan hutang kerajaan yang asalnya dalam ringgit sendiri.

“Harap ada penjelasan pakar-pakar ekonomi kerajaan yang bijaksana, Majlis Penasihat hebat-hebat belaka, kami berharap mereka dapat menjelaskannya,” ujarnya lagi.

Dilaporkan dalam sidang media semalam, Tun Dr Mahathir telah meminta Jepun memberi kredit yen (pinjaman) kepada Malaysia dengan kadar faedah yang dibayar balik lebih 40 tahun.


0 comments:

share2