Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 28, 2018

[BERA] ‘BAGAI MATI HIDUP SEMULA'



‘Bagai mati hidup semula’



“Melihat keadaan dia sebelum ni, saya terfikir seperti saya akan menjaga mayat hidup. Tapi, Alhamdulillah... bila dia dah sedar dari koma, dia semakin sihat. Itu sudah cukup buatkan saya gembira.

Demikian luah seorang wanita, Salmah Mohd Ali, 42, mengenai keadaan anaknya, Akmal Haziq Suhaimi, 8, yang koma selama 14 hari akibat terbabit dalam kemalangan pada 6 Mac lalu.

Akmal Haziq dilanggar oleh motosikal peronda polis semasa berjalan kaki ke kawasan lapang berdekatan rumahnya untuk bermain bersama kawan-kawannya.

Menceritakan detik cemas itu, Akmal Hadiq yang mengalami pendarahan serius di bahagian kepala terpaksa menjalani pembedahan di bahagian belakang kepala sebanyak tiga kali pada hari yang sama.


Keluarga hampir putus harapan

Menurutnya, selain pembuluh darah pecah dan rahangnya patah, tempurung kepala bahagian hadapan juga terpaksa dibuang.

Katanya, sepanjang tempoh dua minggu dalam keadaan koma itu, Salmah dan suaminya, Suhaimi Sulaiman, 49, hampir putus harapan apabila doktor menyatakan keadaan anaknya hanya 50-50.

“Melihat keadaan Akmal Haziq yang mengalami pendarahan serius di kepala, menyebabkan para doktor sukar memberi jaminan sama ada dia akan terus hidup atau koma selamanya.

“Malah, doktor telah mencuba pelbagai kaedah termasuk memberikan tiga jenis ubat khas, namun dia tidak memberikan sebarang tidak balas. Sehinggalah doktor memaklumkan kepada saya akan memasukkan ubat ke empat tapi masih tidak memberikan apa-apa jaminan,” katanya.

Bagaimanapun, Salmah memberitahu, usaha doktor berhasil apabila anaknya itu menunjukkan respon positif dan kembali sedar.

Katanya, doktor sendiri terkejut dan teruja melihat perkembangan positif Akmal Haziq sepanjang 17 hari berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Akmal Haziq yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik ini juga kelihatan ceria walaupun tidak banyak berbicara semasa kunjungan wartawan Sinar Harian ke rumah mereka di Kampung Paya Panjang.




Bakal jalani satu lagi pembedahan

Salmah berkata, anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Triang diberikan cuti sakit dan masih menjalani rawatan susulan di Hospital Temerloh pada setiap Khamis.

Katanya, anaknya dijangka menjalani satu lagi pembedahan untuk memasukkan tempurung kepala tiruan pada Julai depan dengan anggaran kos antara RM5,000 hingga RM6,000.

“Tak tahulah macam mana nak bayar kos pembedahan tu. Saya tak bekerja, suami pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dan lapan orang anak sedang bersekolah.

“Buat masa ni, dia (Akmal Haziq) perlu dipantau supaya kesihatannya tidak terjejas, selain memastikan bahagian kepala depan (tanpa tempurung) tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan, kes Akmal Haziq sudah mendapat perhatian Adun Guai, Dato' Sri Norol Azali Sulaiman yang menziarahinya beberapa minggu lalu.

Orang ramai yang ingin membantu adik Akmal Haziq, boleh salurkan sumbangan ke akaun 06113-29-00012744-1 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Salmah Mohd Ali


0 comments:

share2