Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 9, 2018

[KUANTAN] KALAU NAK BERNIAGA, JANGAN MASUK POLITIK



Kalau nak berniaga, jangan masuk politik



Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan usahawan Bumiputera yang baru naik tidak melibatkan diri dalam politik.

Baginda bertitah, pembabitan dalam politik sebenarnya boleh menjatuhkan mereka dengan mudah, oleh itu sebaiknya fokus dalam bidang perniagaan terlebih dahulu sebelum terlibat dalam dunia politik.

“Kalau hendak berpolitik sekalipun biarlah perniagaan yang kita usahakan sudah berjaya dan kukuh. Jangan pula kita masuk politik dengan niat untuk mencari duit. Jika semua hendak masuk politik, siapa yang akan menjalankan perniagaan?

"Saya sering nasihatkan mereka yang terlibat supaya menumpukan satu bidang sahaja. Jika mahu berpolitik, fokus kepada politik. Jika mahu berniaga, fokuslah kepada perniagaan,” titah baginda pada Majlis Santapan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, malam tadi.

Baginda juga berharap usahawan Bumiputera yang sudah berjaya dapat mengekalkan nilai-nilai murni dalam diri dan membantu fakir miskin di negeri ini.

“Saya sentiasa berdoa supaya ramai ahli DPMM Pahang berjaya untuk menjadi jutawan melalui perniagaan. Paling mustahak selepas itu ialah kita tetap bertakwa dan berbakti kepada golongan memerlukan.

“Janganlah juga kita sombong atau dengki kepada orang lain yang lebih maju sama ada sesama bangsa mahupun bangsa lain,” titah baginda.

Pada majlis itu, seramai 350 ahli DPMM Pahang hadir.

Antara yang hadir, Setiausaha Kerajaan negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Pengerusi Pertubuhan Peladang negeri Pahang (Pasfa), Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid dan Yang Dipertua DPMM, Yusri Yusof.


0 comments:

share2