Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 8, 2018

ADUN TANJUNG BUNGAH RASMI KELUAR DAP



ADUN Tanjung Bungah rasmi keluar DAP



Pulau Pinang – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu hari ini secara rasmi mengumumkan meninggalkan parti DAP yang disertainya sejak 2000.

Ekoran keputusan itu juga, beliau turut menyerahkan surat peletakan jawatan dan keahlian DAP kepada Pengerusi DAP Cawangan Seri Tanjung Bungah, Lim Cheng Ho dalam satu majlis di sini hari ini.

Menurut Yee Cheu, keputusannya itu selari dengan pengumuman dibuat beliau sebelum ini yang mana akan meninggalkan DAP sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

Yee Cheu sebelum ini dianggap sebagai wakil rakyat DAP berhaluan kiri selepas kerap mengkritik kerajaan negeri dan partinya sendiri terutama ketika sidang DUN.

Malah, beliau turut bersetuju supaya Ketua Menteri, Lim Guan Eng meletak jawatan ekoran tuduhan rasuah yang dihadapi di mahkamah selain menggesa supaya jawatan Ketua Menteri dihadkan hanya kepada dua penggal.

Dalam isu pembangunan pula, Yee Cheu yang merupakan aktivis alam sekitar turut lantang mengkritik Kerajaan DAP Pulau Pinang khususnya membabitkan projek di lereng bukit dan tambak laut.

Ekoran kelantangannya itu, Yee Cheu ditekan partinya sendiri termasuk tidak dibenarkan berkhidmat kepada penduduknya dalam menyalurkan bantuan banjir selain peruntukan untuk pusat khidmatnya disekat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai hala tuju pada masa depan, Yee Cheu mengakui akan terus terbabit dalam politik dan menyertai parti baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Malah, beliau turut mengesahkan akan bertanding di kerusi DUN Sungai Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ujarnya, keputusannya bertanding kerana mahu memberi pilihan kepada penduduk negeri ini untuk terus melakukan perubahan atau reformasi sama seperti yang dilakukan mereka dalam dua pilihan raya umum lalu.

“Lebih banyak suara pihak ketiga diperlukan di negeri ini supaya pandangan rakyat dapat didengari dan tidak ada parti politik yang memonopoli kerajaan negeri,” katanya.

Ditanya mengapa memilih DUN Sungai Pinang dan tidak mempertahankan kerusi Tanjung Bungah, Yee Cheu berkata, keputusan itu diambil berdasarkan prinsipnya iaitu seseorang pemimpin tidak sepatutnya memegang jawatan melebih dua penggal.

Selain itu, katanya, beliau juga mahu bermula dari awal dan tidak mahu lagi dikaitkan dengan DAP termasuk kemungkinan dakwaan masih menggunakan sumber bekas partinya itu jika kekal di Tanjung Bungah.


0 comments:

share2