Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 20, 2018

[TEMERLOH] TUISYEN RAKYAT@KKLW BANTU PELAJAR TINGKATKAN PENCAPAIAN AKADEMIK



Tuisyen Rakyat @ KKLW bantu pelajar tingkat akademik



Program Tuisyen Rakyat @ KKLW yang dimulakan sejak 2016 ternyata memberi kelegaan terutama kepada ibu bapa di luar bandar setelah anak-anak mereka yang menyertai inisiatif itu telah menunjukkan peningkatan dalam akademik.

Harisa Cuwok, 35, berkata keluarga yang tinggal di pedalaman memang sukar untuk menghantar anak ke kelas tuisyen kerana kekurangan tawaran pusat tuisyen di kawasan luar bandar.

Beliau yang tinggal di Kampung Lubuk Wong, Kuala Krau, berkata perjalanan untuk menghantar tiga anaknya mengikuti kelas tuisyen ialah sejauh 50 kilometer di bandar Temerloh.

"Di kawasan kami memang tidak ada kelas tuisyen, jadi program tuisyen rakyat yang dilaksanakan kerajaan ini sudah tentu memudahkan urusan anak-anak untuk belajar.

"Kami sebagai ibu bapa berasa sangat bersyukur kerana program ini sudah tentu membantu meningkatkan pelajaran anak-anak khususnya Orang Asli yang tinggal di pedalaman," katanya ditemui pada majlis pelancaran Tuisyen Rakyat @ KKLW Peringkat Kebangsaan 2018 di sini semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar di sini.

Turut hadir ialah Anggota Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin.

Sementara itu, pemandu lori, Rosfauzly Yusof, 40, dari Kampung Bukit Kelulut di sini, amat berharap anak sulungnya yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun hadapan terpilih untuk mengikuti kelas tambahan itu.

“Ada ramai keluarga yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk menghantar anak mengikuti tuisyen disediakan pihak swasta, jadi program ini sudah tentu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua.

"Program tuisyen rakyat ini akan membantu murid dari keluarga kurang mampu untuk turut sama cemerlang dalam pelajaran," katanya.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Temerloh, Alia Qistina Fuzil, 17, program tuisyen itu akan membantunya dalam subjek yang lemah seperti Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pada program itu, Ismail Sabri juga menyampaikan sumbangan saguhati sebanyak RM200 daripada Yayasan Pelajaran Mara kepada 17 pelajar cemerlang SPM 2017 dari daerah Temerloh yang menjadi kumpulan pelajar pertama di daerah itu mengikuti tuisyen rakyat bermula tahun lepas.

Muhammad Fikri Hakim Abdul Rashid 18, yang memperoleh 6A dalam SPM 2017 menganggap tuisyen rakyat sangat membantunya cemerlang dalam peperiksaan.

"Saya tinggal di asrama SMK Datuk Bahaman di Lanchang memang tidak ada peluang mengikuti tuisyen di luar, jadi saya manfaatkan peluang disediakan kerajaan menerusi tuisyen rakyat ini.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Nurul Hafizah Mohd Ali Azmi, 18, juga dari sekolah SMK Datuk Bahaman, memperoleh keputusan 9A, menganggap program tuisyen itu sangat membantu terutama dari segi pemahaman untuk menjawab soalan.

Bagi pelajar Nur Eviana Jezzyra Arnold, 18, dari SMK Abu Bakar pula, pusat tuisyen itu membantunya belajar pada waktu petang, yang sukar dilakukan sebelum ini.

“Sebelum ini, waktu petang banyak dihabiskan dengan melakukan aktiviti yang kurang bermanfaat... bila ada tuisyen rakyat, mahu tak mahu saya terpaksa berdisiplin pergi ke kelas,” katanya.

Nur Eviana Jezzyra yang merupakan anak sulung daripada empat beradik, tidak menjangka akan mendapat 6A memandangkan keputusan percubaannya hanya sekadar ‘boleh tahan’ dan hanya mula mengikuti kelas itu lima bulan sebelum menduduki SPM.


0 comments:

share2