Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 19, 2018

[BENTONG] 11 KALI MENANG TILAWAH


11 kali menang tilawah



Kejayaan Zul Hasyimi Mohamed Yunus, 39, sebagai johan qari pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat negeri ke-61 membuktikan pembacaan al-Quran tidak terhad kepada mereka yang berpendidikan agama sahaja.

Guru Matematik yang berasal dari Bentong itu mendapat markah tertinggi iaitu 95 peratus mengatasi 14 qari lain.

Sebelum ini beliau pernah mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan sebanyak 10 kali serta pernah mewakili Malaysia ke Majlis Tilawah al-Quran Antarabangsa di Russia dan Kuwait selain berjaya menjadi Johan Majlis Tilawah al-Quran Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam pada 2016.

Zul Hasyimi yang juga Guru Penolong Kanan Sekolah Indera Shahbandar Pahang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bentong tidak menjangka dinobatkan sebagai johan untuk kali ke 11 tahun ini memandangkan semua peserta menunjukkan persaingan yang sengit.

“Semua peserta tahun ini mempamerkan persembahan yang sangat baik.

“Kebanyakan peserta adalah orang muda, bekas graduan daripada Mesir malah ada imam masjid negeri yang saya kira saingan agak sengit, cuma ALLAH SWT bagi rezeki kepada saya,”katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenaan menyampaikan hadiah kepada qari. Manakala Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenaan menyampaikan hadiah kepada qariah.

Zul Hasyimi dan dan Nur Hafizah Ahmad Tajudin, 30, yang dinobatkan johan qari dan qariah masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000, piala pusingan dan sijil penyertaan.

Sementara itu, Nur Hafizah berkata, kejayaannya dalam tilawah itu adalah berkat dorongan daripada ayahnya sejak daripada sekolah rendah lagi.

Menurut guru agama itu, ayahnya Ahmad Tajudin Abdul Hamid, 60, yang pernah mewakili negeri dan merupakan guru agama banyak mengajarnya mengenai bacaan al-Quran yang betul.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana bukan mudah untuk membaca al-Quran dengan betul dan baik kerana ia sangat halus dan kena banyak belajar dan berlatih,”katanya.


0 comments:

share2