Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 22, 2018

[KUANTAN] HANYA 29 MAAHAD TAHFIZ BERDAFTAR



Hanya 29 maahad tahfiz berdaftar




Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) mengenal pasti hanya 29 maahad tahfiz yang berdaftar di negeri sejak sesi pemutihan dilakukan hujung tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dato' Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, pihaknya sudah mengadakan sesi penerangan kepada maahad tahfiz yang tidak berdaftar bersama agensi- agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya pengusaha maahad tahfiz jelas mengenai garis panduan yang ditetapkan.

Menurutnya, selain aspek keselamatan bangunan maahad, Muip juga memberi penekanan kepada kandung silibus mata pelajaran yang diajar di maahad tahfiz berkenaan.

“Muip komited untuk mendaftarkan semua maahad tahfiz yang wujud di negeri ini namun jika ada maahad yang tidak memenuhi syarat selepas sesi penerangan dibuat, kita akan mengambil tindakan menutup institusi itu.

“Terlalu banyak maahad tahfiz wujud tanpa mengikut syarat seperti tiada dana, tenaga pengajar yang tidak mencukupi selain aspek keselamatan,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Van Jenazah kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, semalam.

Hadir sama, Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin dan Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Prof Dr Kamaruzzaman Yunus.

Sementara itu, mengulas mengenai kes jenayah seksual yang berlaku terhadap pelajar maahad tahfiz, Wan Abdul Wahid yakin dengan undang-undang yang ada sebelum hukuman sewajarnya dibuat.

Pada majlis itu, Muip menyerahkan sumbangan van jenazah bernilai RM115,000 kepada UIAM sebagai kemudahan di Hospital UIAM dan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM.


0 comments:

share2