Penggiat industri pelancongan di daerah ini memohon pihak berkaitan agar tidak merobohkan sebahagian bangunan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini yang disifatkan memiliki nilai warisan tinggi.
Pengarah Urusan Tuah Travel & Tours Sdn Bhd, Mohd Hassan Tuah berkata, permintaan itu berasas kerana bangunan lama Stesen Kereta api Kuala Lipis yang dibina pada 1926, salah satu bangunan warisan sejarah yang disenaraikan sebagai produk pelancongan yang terkenal di daerah ini.
Menurutnya, bangunan lama itu telah dicadangkan untuk diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), bahkan pihak Jabatan Warisan Negara sedang membuat kajian berkaitan potensi, kriteria serta justifikasinya.
Katanya, stesen lama kereta api itu merupakan salah satu daripada 14 buah monumen sejarah yang terdapat di daerah ini yang perlu dijaga dan dipulihara.
“Kita tak halang sebarang cadangan pembangunan yang ingin dilaksanakan.
“Walaupun begitu, sebahagian bangunan lama ini janganlah dirobohkan, sebaliknya ia perlu dijaga seperti juga menjaga keaslian, integriti dan keharmonian warisan yang terdapat di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Moh Hassan berkata, bangunan stesen kereta api lama yang berusia 92 tahun itu telah menjadi saksi terhadap perkembangan kemajuan sistem pengangkutan darat di Malaysia sebelum merdeka.
Menurutnya, ia menjadi pengangkutan utama penduduk setempat serta medium mobiliti bagi hasil bumi negeri seperti bijih timah dan emas.
“Sekiranya bangunan tersebut dirobohkan, lenyaplah landskap warisan di Kuala Lipis serta keaslian kawasan tersebut akan terganggu.
“Justeru itu, kita mengharapkan agar sebahagian bangunan tersebut dapat dikekalkan dan dipulihara untuk tatapan generasi akan datang dan terus dijadikan produk pelancongan bagi daerah ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment