Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 23, 2018

SAWIT EU: `MEREKA HANYA DAPAT MAKLUMAT DARI INTERNET'



Mah Siew Keong



Shah Alam - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong mendakwa, resolusi Kesatuan Eropah (EU) memboikot minyak kelapa sawit dibuat dengan hanya melihat isu alam sekitar dan kelestarian semata-mata.

Siew Keong berkata, kebanyakan ahli parlimen mereka tidak pernah melihat sendiri rupa pokok kelapa sawit dan hanya memperoleh maklumat daripada sumber carian di internet yang memberikan gambaran tidak benar.

"Mereka dapat banyak maklumat daripada internet. Semua (yang terlibat dalam industri tanaman kelapa sawit) merupakan syarikat besar dan bakar hutan. Ini semua (persepsi yang salah).

"Apabila saya terangkan kepada mereka, banyak pekebun kecil dan golongan berpendapatan rendah (mengusahakan tanaman sawit), mereka lebih memahami," katanya ketika menjadi panel FB Live Sinar Harian, yang mengulas topik 'Kenapa EU nak haramkan sawit kita', di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, Malaysia tidak pernah mengabaikan isu berkaitan alam sekitar, malah memulihara dengan baik selama ini.

"Saya beritahu mereka (EU), alam sekitar dan Orang Utan adalah penting. Malaysia juga jaga Orang Utan, malah kita juga mempunyai Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok di Sabah.

"Pada masa sama, saya tegaskan, kita juga hendak jaga warga kampung yang mengusahakan tanaman kelapa sawit yang melibatkan 650,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara. Ia sama penting dengan alam sekitar dan kita nak jaga semuanya," katanya.

Dalam pada itu, Siew Keong turut melahirkan keyakinan beberapa negara dalam EU bakal membantu Malaysia dan negara pengeluar kelapa sawit lain supaya usul Parlimen mereka tidak akan dilaksanakan seperti yang dirancang, pada 2021.

"Namun, kita masih ada lagi banyak kerja (untuk ke arah itu) dan perlu bekerjasama dengan mereka," katanya.


0 comments:

share2