Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 23, 2018

[KUANTAN] 'KITA SEDIA BANTU MUHAMMAD DANIEL'



'Kita sedia bantu Muhammad Daniel'



Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pekan akan membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) Muhammad Daniel Haikal Hasdi,14, yang tidak dapat menggunakan kaki palsunya sebelum ini.

Pegawainya, Zulkifli Mahmud mengakui, kes itu jarang berlaku.

Katanya, sebelum kaki palsu yang diberikan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar itu, sudah dirujuk dan mendapat nasihat doktor pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di Kuantan.

Menurutnya, kes seperti itu jarang berlaku namun pihaknya memandang serius masalah dihadapi remaja terbabit yang kini terpaksa menggunakan tongkat untuk ke sekolah selepas kaki kanannya dipotong tahun lalu.

“Kami akan bertemu dengan ibu bapa remaja terbabit bagi mendapatkan penjelasan dan cerita sebenar sebelum memutuskan bantuan yang sesuai.

“Bagi memudahkan urusan, saya menasihatkan ibu bapa Muhammad Daniel Haikal supaya menghubungi syarikat yang membuat kaki palsu anaknya untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zulkifli berkata, mungkin ada alternatif yang boleh diambil seperti membaiki kaki palsu itu supaya boleh digunakan semula.

Katanya, pihaknya sedia membantu dengan menyediakan kaki palsu baharu terutama selepas mendapat nasihat doktor pakar yang merawat remaja terbabit.

“Kita perlu memberi perhatian supaya dia tidak mudah putus asa, sokongan moral penting untuk memastikan dia berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Rabu lalu Sinar Harian melaporkan mengenai Muhammad Daniel Haikal yang dilahirkan cacat kaki kanan tetapi tidak dapat menggunakan kaki palsu diberikan JKM disebabkan masalah tulang kaki.

Ekoran itu, remaja berkenaan mengalami kesakitan apabila memakai kaki palsu itu dan terpaksa menggunakan tongkat bagi memudahkan pergerakan terutama di sekolah.


0 comments:

share2