Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 16, 2018

[KUANTAN] WANITA PERTAMA DILANTIK PEGAWAI MEMERINTAH KM NYALAU


Wanita pertama dilantik pegawai memerintah kapal KM Nyalau


Dorongan ibu menjadikan Leftenan Maritim Aida Arzahari, 35 berusaha keras hingga berjaya melakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai pegawai memerintah kapal di negara ini.

Dan kehadiran ibu tersayang, Hamiah Zain, 57 menjadikan hari bersejarah buat anak sulung daripada tiga beradik itu menjadi lebih bermakna buat Aida ketika majlis sambutan ulang tahun Maritim Malaysia ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Malaysia Sultan Ahmad Shah (AMSAS),di sini semalam.

Aida dilantik sebagai Pegawai Memerintah KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak dan bakal memulakan tugasnya secara rasmi pada minggu depan.

Kejayaan itu menjadikan Aida meneruskan legasi arwah bapanya, Arzahari Sudin untuk berkhidmat dalam pasukan beruniform yang sebelum ini bertugas selaku Pegawai Waran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Saya amat rapat dengan arwah bapa dan sebagai anak sulung ibu mahu saya mengikut jejak bapa.

“Sejujurnya saya sememangnya menyimpan impian untuk bergelar pegawai memerintah namun tidak sangka ia secepat ini,” katanya lagi.

Mengakui peranan ibunya yang banyak mendorong tanpa jemu untuk berkhidmat dalam pasukan Maritim, Aida yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memilih bekerja dalam bidang perakaunan di sebuah syarikat pembinaan kapal sebelum beralih arah.

“Ibu adalah individu yang mencabar saya untuk menyertai Maritim Malaysia dan mahu saya melakukan yang terbaik.

“Saya juga mahu menyatakan penghargaan kepada lima pegawai atasan yang mempercayai kebolehan saya dan sering memberi semangat untuk terus berjaya,” katanya.

Jelas anak kelahiran Perlis ini, pesanan arwah bapanya yang mahu dia menjaga keluarga serta menjadi yang terbaik umpama azimat buatnya setiap kali dia berasa putus asa.

Aida menyertai Maritim Malaysia pada 23 April 2012 sebagai pegawai pelatih dan pernah berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada golongan wanita untuk sama-sama menonjol dan mencapai kejayaan walaupun berada dalam bidang yang dimonopoli kaum lelaki.

“Tunjukkan bahawa wanita juga berkebolehan menjaga keamanan negara,” katanya.

Sementara itu, Hamiah berkata Aida banyak mewarisi keperibadian suaminya iaitu tegas, bertanggungjawab dan akan memastikan setiap tugas dilaksanakan dengan baik.

Menurutnya, keperibadian dimiliki Aida menjadikan dia dapat mengikuti jejak arwah suaminya yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2007.


0 comments:

share2