Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 24, 2018

[KUANTAN] ECRL PROJEK UNTUK RAKYAT



ECRL projek untuk rakyat



Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memberi manfaat besar kepada rakyat, antaranya memudahkan pergerakan dan membangunkan pertumbuhan bandar baharu.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah projek yang diinisiatifkan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak itu akan memberi kesan positif kepada pembangunan negeri.

“Saya anggap projek ECRL ini adalah untuk rakyat dan keretapi mendekatkan mereka yang berada di Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan Selangor.

“Saya percaya projek ECRL mampu memberi nilai tambah kepada Pahang,” titahnya ketika berucap merasmikan Ibu Pejabat Tanah Makmur Berhad dan Galeri Jualan KotaSAS, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob dan Pengarah Eksekutif Tanah Makmur Berhad, Tengku Amir Nasser Tengku Ibrahim.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah bertitah, perancangan pembangunan KotaSas termasuk pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah dilaksanakan sejak sekian oleh pemimpin terdahulu antaranya, Allayarham Datuk Abdul Rahim Abu Bakar dan Najib yang diteruskan Adnan kini.

Titahnya, ia bukti keprihatinan kerajaan yang memikirkan perhimpunan jangka panjang untuk memastikan Kuantan lebih maju.

“Kita juga sudah ada perancangan pembangunan Gebeng yang terletak tidak jauh daripada KotaSas dan kita harap dapat melihat perkembangan pesat Kuantan dalam tempoh 10 ke 20 tahun,” katanya.

Tengku Abdullah turut berharap keadaan persekitaran alam sekitar di KotaSas menjadi lebih baik pada masa depan bagi memberi keselesaan kepada masyarakat yang bakal menduduki bandar baharu Kuantan itu.

ECRL dirasmikan Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu melibatkan pembinaan laluan rel kereta api sepanjang 600.3 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan bernilai kira-kira RM55 bilion yang dijangka siap pada 2024.


0 comments:

share2