Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 24, 2018

ZAMBRY NAFI KERAJAAN TIADA DUIT BINA HOSPITAL




Seri Manjung: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menafikan dakwaan bahawa kerajaan tidak mempunyai wang untuk projek empat hospital di Perak, termasuk pembinaan dua hospital baharu di daerah Perak Tengah dan Kerian.

Beliau berkata, berdasarkan taklimat diberikan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kesihatan kepada kerajaan negeri baru-baru ini, semua perancangan pembinaan bangunan tambahan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh dan Hospital Seri Manjung (HSM), serta dua hospital baharu di Seri Iskandar dan Parit Buntar, berjalan mengikut jadual.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kanan) berucap di Majlis Perasmian Bengkel Jururawat Idaman Ku Siri 1/2018 Peringkat Hospital Seri Manjung.


Justeru, beliau meminta rakyat negeri ini tidak mendengar khabar angin mendakwa kelewatan pembinaan hospital berkenaan disebabkan kononnya kerajaan tidak mempunyai wang serta wang sudah habis berpunca daripada pembaziran yang dilakukan di pelbagai tempat.

Katanya, khabar angin seperti itu sengaja dimainkan pihak tertentu untuk mendapat laba politik kerana hakikatnya apabila kerajaan mengumumkan sesuatu projek, ia akan tetap dilaksanakan cuma mungkin memakan masa kerana memerlukan perancangan teliti atau ada sesuatu perkara yang tidak dijangka berkaitan pembinaannya.

"Sebagai contoh, ada dalam kalangan mereka yang menceritakan kononnya Hospital Daerah Perak Tengah tidak dapat disiapkan kerana peruntukannya sudah diberikan bagi pembinaan Hospital Parit Buntar.



Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa banjir K. Sumitra, 46, (kiri) pada Program Turun Padang di Kampung Pundut Manjung hari ini. Turut hadir Pengerusi MIC negeri Datuk V. Elango (kanan). Seramai 54 keluarga menerima bantuan pada majlis itu. - Foto BERNAMA


"Tetapi, kelmarin apabila saya pergi ke kawasan Parlimen Parit Buntar, penduduk di situ mendengar khabar angin bahawa peruntukan untuk pembinaan hospital di daerah Kerian itu pula (tidak dapat disiapkan) kerana sudah dibagi untuk pembinaan Hospital Daerah Perak Tengah.

"Jadi, ini mainan yang dibuat seolah-olah mereka lebih pandai daripada pihak Kementerian Kesihatan dan JKR," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) An-Najah Taman Samudera di sini, hari ini.

Zambry berkata, tender bagi projek bangunan tambahan HSM bernilai RM60 juta akan dibuka pada Mac ini dan ia membabitkan pembinaan bangunan yang akan menempatkan 12 bilik klinik pakar, pusat jagaan harian, dewan pembedahan, wad psikitiari, wad pelbagai penyakit, kemudahan awam, penambahbaikan bekalan elektrik dan pelbagai kemudahan lain.

Beliau berkata, kelewatan pembinaan Hospital Parit Buntar disebabkan ia mengambil masa agak lama untuk proses pemampatan tanah kerana ia dibina di atas tanah bekas sawah padi.

Katanya, aspek sama turut dihadapi bagi pembinaan bangunan tambahan HRPB bernilai lebih RM200 juta kerana tapaknya didapati mempunyai banyak lubang batu kapur rapuh yang memerlukan masa untuk merawat dan dimampatkan terlebih dahulu bagi mengelak insiden pemendapan tanah apabila binaan berat dibuat di atasnya.

Sementara itu, Zambry berkata kerajaan negeri akan berusaha mencari peruntukan bagi menyelesaikan masalah kekurangan kelas di SRAR An-Najah bagi menampung lebih 600 murid yang belajar di situ.

"Sekolah ini mempunyai sembilan kelas di tiga blok bangunan tetapi tidak mencukupi untuk menampung semua murid sehingga terpaksa dilakukan dua sesi pembelajaran yang bertindih pada sebelah petang, jadi ia memerlukan tambahan sembilan kelas lagi.

"Jadi, kita akan melihat sama ada blok paling lama akan dibangunkan semula atau buat pembinaan di tapak baharu, bagaimanapun perlu dibawa ke pihak atasan dan mencari peruntukan terlebih dahulu," katanya.

Terdahulu, Zambry mengadakan pertemuan bersama masyarakat India di Kampung Pundut serta memberikan sumbangan kepada 54 keluarga mangsa banjir kilat di kampung berkenaan serta Kampung Dato Seri Kamaruddin.

Sebelum itu, beliau merasmikan program Jururawat Idamanku di HSM serta meninjau kemudahan yang terdapat di hospital berkenaan.


0 comments:

share2