Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 24, 2018

[JERANTUT] POTENSI IKAN AIR TAWAR KACUKAN


Potensi ikan air tawar kacukan


Sebanyak 5,000 benih ikan kacukan lampam kerai dilepaskan di dalam sebuah kolam ikan di Felda Sungai Retang di sini, semalam.

Majlis pelepasan ikan lampam kerai itu dilakukan di kolam milik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Sungai Retang, Suran Jaafar di mana majlis disempurnakan oleh Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadun Zabir dan Timbalan Pegawai Perikanan Jerantut, Raimi Reseli.

Zulkefly berkata, kesemua ikan terbabit dibekalkan secara percuma di mana kolam ikan milik Suran akan menjadi projek rintis ternakan ikan air tawar kacukan di kolam bagi tanah rancangan itu.

Katanya, kolam ikan milik Suran dianggarkan seluas 0.1 hektar itu dipilih sebagai contoh buat penduduk di bawah pentadbiran JKKK Sungai Retang bagi melihat sejauh mana projek itu berjalan dalam usaha memperkasakan ternakan kolam air tawar dalam mukim itu.

“Projek ini tercetus sekitar tahun 2016 di mana saya merancang dengan pejabat perikanan daerah setelah mendapati kita di daerah ini mempunyai sebuah pusat pembenihan ikan yang besar di Perlok, Ulu Cheka.

“Saya diminta oleh Jabatan Perikanan untuk mempergiatkan lagi projek ternakan ikan air tawar menerusi kolam. Jadi projek hari ini (semalam) sebagai rintis di mana kita akan mulakan dengan Felda Sungai Retang diikuti oleh kampung-kampung yang lain di mukim ini,” katanya.

Zulkefly juga berkata, projek itu juga dibuka kepada seluruh penduduk di Mukim Tembeling Tengah yang berminat dengan menyediakan kolam dan tempat seperti yang dilakukan di Felda Sungai Retang ini.

“Mereka yang berminat perlu menyediakan kolam dilengkapi dengan tempat permulaan benih ikan, susur air dan lain-lain lagi dan setelah dipersetujui oleh Jabatan Perikanan, mereka akan dibekalkan ikan bersesuaian dengan keadaan kolam mereka itu secara percuma,” katanya.

Dikatakan juga projek terbabit diletakkan di bawah pemantauan Jabatan Perikanan secara berkala dan dijangka akan membawa pulangan yang menguntungkan kepada pengusaha kolam itu.

Suran pula berkata, beliau bersetuju membuka sebuah kolam ikan air tawar bagi menampung bekalan yang semakin dapat permintaan.

“Saya melihat pembeli pada hari ini lebih memilih untuk membeli dan mendapatkan ikan air tawar berbanding ikan laut justeru permintaan terhadap ikan air tawar semakin meningkat.

“Saya harap projek ini berjalan dengan lancar selain turut menggalakkan penduduk di tanah rancangan ini untuk turut melibatkan diri dalam projek ternakan kolam ikan air tawar ini,” katanya.

Difahamkan kolam milik Suran adalah kolam pertama yang menternak ikan air tawar kacukan lampam kerai di daerah ini.


0 comments:

share2