Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 24, 2018

[KUANTAN] MUBARAK ANJUR WACANA DIRAJA


Mubarak anjur wacana Diraja


Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) akan menganjurkan Program Wacana Diraja: Raja Perlembagaan dan Patriotisme dijadualkan berlangsung pada 21 Februari depan.

Presidennya, Tan Sri Abd Aziz Rahman berkata, wacana itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya berkaitan fungsi perlembangaan negara dan peranan patriotisme serta kedaulatan Institusi Diraja.

Menurutnya, idea penganjuran wacana ini tercetus tiga bulan lalu dalam pertemuan dengan Tengku Abdullah selepas melihat perkembangan semasa terutamanya berkaitan kekurangan kefahaman berkaitan kepentingan institusi diraja.

"Saya telah jalankan kajian selama tiga tahun dengan melibatkan 1,400 responden terdiri daripada golongan muda menunjukkan patriotisme golongan muda berusia 19 hingga 29 tahun semakin menurun dan sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasinya.

"Melihat situasi itu, kita mahu mengenengahkan bahawa Raja itu sebagai pengikat bangsa yang membabitkan diri dalam pelbagai bidang seperti dilakukan Pemangku Raja Pahang sendiri.

"Ia penting supaya golongan muda dapat melihat kembali kepada sejarah sekali gus meningkatkan patriotisme untuk menjadi bekalan pada masa kini dan depan dalam pembangunan negara," katanya pada sidang media di sini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia, Shahar Abdullah, Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Datuk Mohd Yusof Din.

Wacana diadakan di Hotel Grand DarulMakmur di sini yang bakal dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut mendapat kerjasama Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Institut Wasatiyyah Malaysia.

Mengulas lanjut, Abd Aziz berkata, wacana itu akan menampilkan individu yang pakar dalam bidang masing-masing antaranya Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2000, Dr Lim Swee Tin.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sudah tiba masanya anak muda pada hari ini memahami secara jelas peranan institusi Beraja yang membawa lepada jati diri anak bangsa.

Jelasnya, ia perlu disemai dalam diri anak bangsa dalam dalam usaha menjangkau Transformasi Negara 2050 (TN50) iaitu melahirkan barisan kepimpinan.

"Jika dahulu peranan Raja dianggap penting dalam sebuah negeri,tidak kurang juga pada hari ini di mana sejak turun temurun yang lalu, Raja sememangnya dekat di hati rakyat.

"Raja adalah pemimpin, begitu juga dengan peranan anak muda sekarang ini yang juga merupakan pemimpin di kalangan mereka, pada masa akan datang, mereka adalah pelapis pentadbiran negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar peserta Wacana Diraja ini dapat merialisasikan dan menegakkan kembali peranan insitusi Beraja yang merupakan jati diri anak bangsa sejak dahulu hingga kini.


0 comments:

share2