Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 24, 2018

[PEKAN] BN TIDAK JANJI 'BULAN DAN BINTANG' DALAM MANIFESTO PRU14


Adnan Yaakob


Barisan Nasional (BN) negeri ini bakal mengumumkan manifestonya tidak lama lagi dengan janji yang disifatkan jauh lebih realistik berbanding pembangkang, mencakupi pelbagai bidang tanpa menjanjikan 'bulan dan bintang' kepada rakyat.

Pengerusi BN negeri, Dato' Sri Adnan Yaakob berkata, manifesto itu bakal memberikan tumpuan utama kepada bidang pendidikan, pembangunan belia dan modal insan serta kebajikan kepada semua kaum di negeri ini.

"Manifesto itu sudah siap sebelum ini, cuma kita sedang perkemaskannya lagi untuk memastikan semua rakyat di Pahang akan memperoleh manfaat dengan apa yang kita tawarkan mengikut kemampuan kerajaan.

Kita tidak akan janji bulan atau bintang, yang pasti kena realistik dan mampu kita buat…maknanya, tidak bolehlah kita nak janji buat benda yang menjadikan kita popular, contohnya, saya janji nak buat gelanggang futsal untuk semua kampung di Pahang, berapa banyak kampung yang ada?.

“Berapa kosnya? boleh setakat nak buat (janji) tapi akhirnya benda tak jalan (laksana)," katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Rakyat Mukim Pahang Tua, di Padang Awam Kampung Pahang Tua, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Peramu Jaya, Dato' Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.

Pada majlis itu, seramai 24 wakil kumpulan pengguna air (KPA) bagi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan menerima bayaran Bantuan Sara Hidup Kepada Petani seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2018.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai senarai calon di Pahang bagi PRU14, Adnan yang juga Menteri Besar Pahang sekali lagi menegaskan BN negeri sudah menghantar senarai itu kepada pucuk pimpinan parti.

"Senarai (calon) kita sudah hantar dan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk buat keputusan... saya sudah cakap dengan Presiden MIC dan MCA untuk memilih calon yang rakyat (pengundi) mahu dan bukan yang Presiden MIC atau MCA nak.

Saya percaya kalau wakil rakyat sekarang yang rajin turun padang, rajin tengok dan selesaikan masalah rakyat di kawasan mereka, tidak ada masalah... mereka akan dipilih untuk terus menjadi calon," katanya.


0 comments:

share2