Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 25, 2018

KES 'MACAU SCAM' DI PAHANG MENINGKAT


PDRM


Peningkatan kes penipuan melalui panggilan telefon atau ‘Macau Scam’ semakin membimbangkan di negeri ini apabila rekod sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu telah mencatatkan sebanyak 111 kes penipuan membabitkan kerugian RM2.4 juta berbanding hanya 21 kes melibatkan RM360,313 bagi tempoh 2016.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, jumlah yang agak membimbangkan itu mungkin disebabkan faktor kurangnya kepekaan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat itu sendiri berhubung bahaya penipuan Macau Scam.

Jelasnya, usaha menyedarkan masyarakat melalui pelbagai pendedahan berkenaan jenayah tersebut tidak akan berhasil jika hanya pihak polis sahaja yang bertungkus lumus memberi kesedaran.

“Kes penipuan Macau Scam di Pahang telah menunjukkan peningkatan melebihi 400 peratus berdasarkan statistik sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2017.

“Antara daerah yang mencatatkan peningkatan yang agak ketara bagi tahun lalu adalah daerah Kuantan sebanyak 49 kes,diikuti Bentong sebanyak 18 kes dan Temerloh sebanyak 13 kes, manakala daerah lain tidak berlaku peningkatan yang serius.

"Manakala hasil tangkapan terdapat peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 64 tangkapan pada tahun 2017 berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya membabitkan 11 tangkapan sahaja bagi seluruh negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Januari 2018 Polis Kontinjen Pahang di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, semalam.

Dalam pada itu, menurut Rosli, Macau Scam didalangi sindiket Taiwan serta China yang menggunakan talian Antarabangsa dari Hong Kong dan juga tempatan.

“Antara modus operandi Macau Scam adalah melalui Cabutan bertuah (Lucky Draw) bernilai jutaan dolar dari syarikat Hong Kong dan Macau, Spoofing ataupun menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai kerajaan ataupun polis.

“Spoofing ialah teknik di mana panggilan yang akan berkomunikasi menggunakan Voice Over Internet Protocal (VoIP) bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor telefon untuk memperdaya penerima bahawa pemanggil adalah dari nombor yang tertera di skrin.

“Melalui Kaedah inilah yang memperdaya mangsa membuat pemindahan akaun bank ke nombor akaun tertentu,” katanya.

Sementara itu, katanya, walaupun ramai sudah tahu mengenai Macau Scam ini namun pihak polis masih menerima laporan daripada mangsa yang telah diperdaya.

“Saya berharap agar masyarakat lebih berhati- hati dan jangan mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah mereka.

“Jangan sesekali panik apabila mengikut arahan mereka malah sebaliknya membuat laporan kepada pihak polis dan institusi yang terbabit untuk tindakan lanjut," katanya.


0 comments:

share2