Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 28, 2015

ADUAN MELALUI LAMAN SOSIAL JUGA DISIASAT


Aduan melalui laman sosial juga disiasat


Kuala Terengganu - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri akan mengambil perhatian bagi setiap aduan yang dilaporkan termasuk melalui laman sosial facebook.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud berkata, setiap laporan yang diterima akan disiasat KPDNKK malah pihak berkenaan sentiasa peka dengan sebarang aduan yang diterima dan bertindak segera ke atas laporan itu untuk membuat siasatan terhadap peniaga tersebut.

“Hasil kempen hak kepenggunaan yang dijalankan selama ini mula menunjukkan perkembangan positif di mana pengguna semakin prihatin terhadap persekitaran mereka dan terus membuat aduan kepada KPDNKK sekiranya ada keraguan dalam urus niaga yang dilakukan.

“Kita bukan sahaja menerima aduan rasmi malah aduan tidak rasmi melalui laman sosial juga turut diambil kira dan selepas itu, pengguna boleh mengemukakan aduan rasmi mengikut prosedur untuk memudahkan penguat kuasa KPDNKK membuat siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, katanya, KPDNKK Terengganu merekodkan sebanyak 620 kes melibatkan pelbagai kesalahan hasil penguatkuasaan yang dijalankan sejak 1 Jan hingga 15 Disember lalu.

Roslee berkata, kesemua kesalahan itu melibatkan nilai rampasan RM945,314.86.

Menurutnya, sehingga 15 Disember lalu, KPDNKK negeri telah menjalankan pemeriksaan di 96,832 premis perniagaan di seluruh negeri dan dalam tempoh itu sebanyak 109 notis telah dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Daripada jumlah itu, 245 kes kesalahan dilakukan mengikut AKHAP 2011, 207 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, 28 kes direkodkan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999, 25 kes kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, 109 kes lagi mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan enam kes kesalahan mengikut Akta Sewa Beli 1967.

“Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi iaitu 305 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM177,493.72 diikuti Kemaman dengan 123 kes dengan nilai rampasan RM568,192.90 sementara Dungun pula mencatatkan 97 kes dengan nilai rampasan RM161,657.37 manakala Besut mencatat 95 kes dengan nilai rampasan RM37,970. 87,” katanya.


0 comments:

share2