Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 28, 2015

IMPIAN MILIKI RUMAH TERCAPAI


Impian miliki rumah tercapai


Batu 23 - Impian 27 tahun seorang orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan dari Kampung Bukit Tokbat untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai setelah dia menerima sebuah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Dun Kuala Berang.

Mohd Fauzi Mohd Noor, 54, yang merupakan seorang buskers berkata, hanya rasa syukur dan terima kasih mampu diucapkan sebaik sahaja dipilih memperoleh kediaman berkenaan.

“Saya sudah lama punya impian untuk ada rumah sendiri.

“Tapi saya tahu jika hendak buat sendiri memang ia tidak akan jadi kenyataan sebab tak mampu” katanya.

Menurutnya, pendapatannya sebagai buskers sememangnya tidak menentu.

“Sebelum ini saya berhijrah ke Kuala Lumpur sebab hendak cari duit. Memandangkan saya menyewa rumah, setiap bulan kenalah bayar RM300 dan mahu atau tidak perlulah berjimat-cermat dalam perbelanjaan lain.

“Rumah PPRT yang saya dapat ini tidak perlu bayar, cuma bil elektrik dan air sahaja. Tentunya saya gembira apabila nama dipilih sebagai penerima kerana saya tahu ramai yang inginkan rumah. Saya sendiri sudah berpuluh tahun impikan ingin ada rumah sendiri,” katanya.

Mohd Fauzi berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT Berkelompok Dun Kuala Berang di sini kelmarin yang disempurnakan Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan ia melibatkan 10 orang keseluruhan penerima.

Seorang lagi penerima, Ab Talib Muhamad, 65, berkata, rumah tersebut pastinya memberi makna besar buat dirinya sekeluarga kerana selepas ini mereka tidak perlu lagi berpindah serta hadapi kerugian akibat bencana banjir yang melanda saban tahun.

“Sebelum ini kami memang tinggal di rumah PPRT dan setiap kali banjir rumah itu pasti dinaiki air sehingga nampak bumbung saja, tambahan pula lokasi terletak berhampiran sungai.

“Keluarga sayalah jadi mangsa pertama berpindah ke pusat pemindahan,” katanya.

Dia berkata, dia sekeluarga biasanya dibenarkan pulang ke rumah paling akhir sekali dan keadaan itu dilalui saban tahun sejak kira-kira tujuh tahun lalu.

“Sekarang ini, kami memang tak punya perabot sebab dah serik...banyak barang musnah akibat banjir sebelum ini.

“Memang sekarang kami sekeluarga tidur beralaskan toto sahaja. Semua yang kami lalui selama ini berakhir dengan adanya rumah PPRT baru ini dan saya sekeluarga tidak perlu jadi mangsa banjir lagi,” katanya.

Tambah bekas pesara kerajaan ini lagi, banjir tahun lalu menyebabkan dia sekeluarga berpindah ke pusat pemindahan sebanyak empat kali dan hampir sebulan mereka berada di sana berikutan cuaca hujan serta banjir tidak menentu.

“Kalau diikutkan penat memanglah... sebab kena bersih rumah banyak kali tetapi itu sahaja kediaman yang ada, mahu atau tak perlu bersihkan juga. Bila banjir surut, kami balik sekejap basuh rumah dan bila banjir kena pindah lagi, begitulah keadaan dihadapi beberapa kali.

“Alhamdulillah, tahun ini banjir belum melanda dan kami juga telah dapat rumah baharu ini. Sudah tentu kami akan berpindah ke sini secepat mungkin,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit Tokbat.

Sementara itu, Tengku Putera berkata, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM500,000 untuk pembinaan 10 unit rumah PPRT berkelompok bagi Dun Kuala Berang itu termasuk kerja-kerja penambakan tanah di kawasan berkenaan.

Katanya lagi, setiap rumah tersebut bernilai RM40,000 diberikan secara percuma kepada penerima dengan dilengkapi kemudahan tiga bilik tidur, dapur serta dua bilik mandi dan yang lebih penting ia mampu berikan keselesaan kepada penerima sekeluarga.


0 comments:

share2