Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 11, 2018

[KUANTAN] UMP LANCAR APLIKASI XCHAIN, DIGITAL VALID8


Universiti Malaysia Pahang


Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini melancarkan dua aplikasi menggunakan teknologi ‘blockchain’ yang membolehkan simpanan data dilakukan di pelbagai lokasi dan tidak mudah digodam.

Naib Canselornya Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim berkata dua teknologi itu termasuklah UMP Xchain atau dompet mudah alih akan mewujudkan persekitaran tanpa tunai dalam kalangan warga kampus.

"Aplikasi UMP Xchain membolehkan pelajar dan kakitangan UMP menggunakan telefon pintar untuk melakukan transaksi pembayaran di kafetaria, kedai-kedai dan unit Bendahari," katanya pada sidang media di UMP Kampus Gambang di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Pusat Kecemerlangan IBM, Dr Mohamed Ariff Ameedeen dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM) Prof Madya Dr Mohd Ridzuan Darun.

Daing Nasir berkata mereka menyasarkan 11,000 pelajar akan menggunakan aplikasi baharu itu dan optimis 'budaya tanpa tunai' itu boleh diperluaskan ke peringkat lebih tinggi secara berperingkat.

Selain itu, Daing Nasir memaklumkan UMP juga melancarkan UMP Valid8 iaitu aplikasi pengesahan sijil menggunakan sistem kod QR untuk memastikan kesahihan sijil pelajar universiti berkenaan.

"Setiap sijil akan dilengkapi kod QR yang unik bagi memastikan kesahihan maklumat pelajar pada sijil graduan. Kita boleh mengetahui maklumat seperti paparan gambar, nama, program pengajian dan tahun bergraduasi apabila imbasan dilakukan," katanya.

Beliau berkata 2,000 bakal graduan UMP pada konvokesyen tahun ini menggunakan aplikasi itu sepenuhnya yang membantu memudahkan bakal majikan memeriksa bakal pekerja.

Projek perintis hasil Pusat Kecemerlangan IBM dengan kerjasama FIM bersama kumpulan Alumni UMP itu menjadikan universiti ini selangkah ke hadapan dalam memajukan teknologi, katanya.


0 comments:

share2