Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 10, 2018

[PAHANG] 870 KES CURI ELEKTRIK SEPANJANG 2017


 870 kes curi elektrik direkodkan sepanjang 2017



Sebanyak 870 kes kecurian elektrik melibatkan kediaman dan premis komersil direkodkan di negeri ini sepanjang 2017.

Kes berkenaan dikesan hasil pemeriksaan dijalankan pihak TNB ke atas premis terlibat hasil maklumat yang diterima.

Daripada keseluruhan kes yang dikesan, kes kecurian elektrik melibatkan kediaman mencatatkan jumlah tertinggi, 698 kes daripada 5,385 kediaman yang diperiksa manakala 172 kes dicatatkan bagi premis komersil atau perdagangan hasil pemeriksaan di 3,150 lokasi termasuk 10 kes turut direkodkan bagi pengguna kuasa yang besar.

Pemeriksaan ke atas 14 kawasan itu menunjukkan tiga daerah mencatatkan kes tertinggi iaitu Kuantan (193 kes), Rompin (181 kes) dan Pekan (117 kes) bagi kediaman.

Bagi kes melibatkan premis komersil, Kuantan paling tinggi (80 kes ) diikuti Gebeng (17 kes) dan Raub (16 kes).

Antara kesalahan yang dikesan dilakukan pengguna termasuk mengganggu meter dengan memperlahankan meter menggunakan magnet atau membuat pintasan saluran elektrik tanpa melalui meter.

Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Ir Sharuddin Mohd Simin, berkata, pemeriksaan dilakukan pasukan khas itu berdasarkan kajian dan maklumat yang diterima.

Menurutnya, semua tindakan diambil secara rawak ke kawasan yang telah dipilih.

"Pengguna yang didapati mengusik meter untuk mengurangkan bil akan diambil tindakan mengikut Akta Bekalan Elektrik Januari 2016.

"Kiraan akan dibuat dan pengguna berkenaan perlu membayar amaun yang sepatutnya dan bekalan elektrik juga boleh dipotong," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Back To School bersama TNB dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rompin di Sekolah Kebangsaan (SK) Leban Chondong, kelmarin yang turut dihadiri Adun Muadzam Shah, Dato' Sri Maznah Mazlan.

Seramai 200 murid berusia 7 hingga 12 tahun di sekolah itu menerima bantuan berbentuk pakaian seragam, beg, kasut, stokin dan alat tulis untuk sesi persekolahan sesi 2018.

Sharuddin turut menegaskan bahawa alat yang didakwa boleh menjimatkan elektrik itu sebenarnya tidak berkesan dan pengguna jangan terpedaya.


0 comments:

share2