Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 11, 2018

SIASATAN TEROWONG DASAR LAUT BUKAN BERMOTIF POLITIK


Dzulkifli Ahmad


Shah Alam - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan siasatan kes terowong dasar laut di Pulau Pinang bemotifkan politik.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, sebaliknya kes itu telah dikaji secara mendalam SPRM sebelum mengambil tindakan.

“Kalau ada unsur politik, dah lama kita ‘masuk’. Kita tak tergopoh-gapah, kita beri ruang kepada pegawai kita untuk meneliti perkara ini.

“Malah, serbuan kita Selasa lalu langsung tidak diketahui media. Siasatan kita di Pulau Pinang juga tidak terlalu didedahkan,” katanya dalam temu bual ketika kunjungannya ke Sinar Harian, semalam.




Selasa lalu, SPRM membuat serbuan ke atas beberapa pejabat kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan syarikat berhubung siasatan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Difahamkan pejabat kerajaan yang dikunjungi SPRM ialah pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta di Komtar.

Selain itu, Syarikat Ewein-Zenith, 555 Capital Diamond Valley Industrial Park dan Konsortium Zenith turut diserbu dalam serbuan itu.

Susulan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada siasatan terbaru SPRM itu dibuat kerana PRU semakin hampir.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, SPRM telah meneliti kes tersebut sejak pertengahan tahun lalu.

“Kita melihat ada asas untuk melihat secara serius dan buat keputusan siasat berdasarkan keterangan baru yang kita peroleh minggu lepas. Tapi dalam apa-apa tindakan yang SPRM buat, ia menunjukkan bahawa kita bukan dapat saja laporan terus ‘masuk’ tanpa mempunyai kajian dan melihat secara mendalam.




“Dari pertengahan tahun lepas kita telah melihat dan mengkaji kedudukan kes tersebut. Apabila kita dapat maklumat baru yang ada asas untuk kita siasat, barulah kita mulakan siasatan,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini dua tangkapan telah dibuat melibatkan individu daripada syarikat terlibat.

“Kita mendapat reman enam hari dan yang pasti kita kena beri peluang kepada SPRM. Biar SPRM siasat dan buat keputusan sama ada kes melibatkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa atau tidak.

“Kita lihat dari semua sudut, kalau tiada unsur demikian maka bersihlah,” katanya.


0 comments:

share2