Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 15, 2018

[KUANTAN] PESTA KUTIP KEPAH


Pesta kutip kepah


Bagaikan pesta, itu suasana yang boleh digambarkan di Pantai Kempadang di sini apabila diserbu penduduk sekitar sebaik mengetahui ribuan kepah ditemui terdampar di pantai itu, sejak pagi semalam.

Sebaik berita tentang perkara itu tular melalui laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp, orang ramai mengambil peluang sempena cuti hujung minggu ke pantai berkenaan bersama keluarga dengan membawa pelbagai alatan untuk mencari kepah.

Orang ramai dilihat mengutip kepah yang terdampar menggunakan pelbagai alat dan ada juga menggali menggunakan tangan.

Siah Mat, 67, berkata, dia bersama keluarganya mengambil peluang mengutip kepah berkenaan selepas mengetahui perkara itu melaluinya anaknya, Amirul Ashraff Adam, 17, tengah hari, semalam.

Menurutnya, pada ketika itu anaknya berada di pantai terbabit dan menghubunginya untuk datang ke sini untuk mengutip kepah yang terdampar.

“Bila dapat tahu, makcik segera datang, bawa anak-anak semua...bila sampai sini, tengok orang ramai dah ada kat pantai.

“Makcik dan anak-anak turut sama mencari dan seronok bila dapat cari makanan laut ini bersama keluarga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.




Siah memaklumkan ini kali pertama dia melakukan aktiviti pencarian kepah yang terdampar di pantai dan ternyata usahanya tidak sia-sia.

“Beberapa jam makcik dan anak-anak cari dapatlah enam kilogram kepah.. berbaloi la usaha makcik ini sampai main air pantai,” katanya.

Sejam, dua kilogram

Sementara itu, Mohd Yurirazman Che Idris, 37, memaklumkan perkara tersebut diketahuinya di laman sosial Facebook, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, bagaimanapun dia sekeluarga menunggu solat Zuhur dan terus mengunjungi pantai tersebut.

“Tahun lepas pun saya ada dengar perkara yang sama berlaku di sini, tetapi tidak sempat untuk datang.

“Ini kali pertama saya cari kepah yang terdampar, tahun ni Alhamdulillah ada juga rezeki walaupun tidak banyak sebab orang terlalu ramai...sejam saya di sini dapatlah dalam dua kilogram kepah.

“Bagi saya ia berbaloi...ini rezeki daripada ALLAH, saya percaya dalam apa jua musibah pasti ada hikmahnya,” katanya .

Tahun ini lebih banyak kepah dikutip

Seorang bapa kepada dua anak menganggap situasi itu merupakan perkara biasa setiap kali tibanya musim hujan.

Osman Muhammad Yatim, 41, berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini kepah akan terdampar selepas kejadian ombak besar dan angin kuat.



Osman (kiri) dan Mohd Yurirazman gembira dapat kutip hasil makanan laut itu.


“Mungkin kepah ini hanyut sebab arus kuat, tetapi inilah yang dikatakan rezeki musim hujan.

“Rezeki kali ini lebih banyak berbanding tahun lepas dan nampak makanan laut itu makin banyak terdampar kali ini,” katanya.

Ditanya apakah hidangan yang akan dimasak malam nanti, Osman berkata, dia masih belum memikirkan menu yang sesuai untuk dimakan bersama keluarga.


0 comments:

share2