Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 15, 2017

PERLU ADA PERBEZAAN


Najib TUN RAZAK menyatakan sokongan terhadap inisiatif Recep Tayyip


Malaysia perlu membezakan antara hubungan yang menguntungkan den­gan sikap Amerika Syarikat (AS) yang tidak selaras dengan pendirian negara, kata Dato' Sri Najib Tun Razak.

Mengulas hubungan baik Malaysia dengan AS tetapi pada masa sama mengutuk tindakan kerajaan negara itu yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, Perdana Menteri menjelaskan, bukan semua rakyat AS menyokong keputusan tersebut.

“Kita tak boleh sekat um­pamanya pelabur dari AS daripada melabur ke Malaysia semata-mata kerana keputusan Presiden Donald Trump ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini semalam.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kemudian meneruskan perjalanan bagi lawatan kerja ke Bahrain.

Mengulas langkah susulan selepas sidang kemuncak luar biasa hasil inisiatif Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selaku Pengerusi Sidang Kemuncak OIC Ke-13, Perdana Menteri berkata, OIC bersedia menggunakan platform Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan persidangan PBB.

Najib yang dirujuk sebagai pe­mimpin yang rapat dengan Trump menjelaskan, rundingan dua hala termasuk dengan pentadbiran ke­rajaan AS perlu dilakukan dengan harapan negara itu akan sedar betapa pentingnya mencari perdamaian yang adil dan saksama.

Beliau menambah, penganjuran sidang kemuncak ini adalah tepat pada masanya untuk umat Islam menyuarakan pandangan berkaitan Palestin.

“Sidang kemuncak luar biasa ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dengan kehadiran ramai pemimpin negara Islam.

“Walaupun tempoh masa yang agak singkat, kehadiran yang baik membuktikan sokongan padu yang ditunjukkan oleh pemimpin negara-negara Islam terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak-hak mereka bagi mendapatkan sebuah negara Palestin yang berdaulat perlu diberikan pujian,” katanya yang turut diberi peluang untuk menyuarakan pandangan Malaysia dalam mesyuarat tersebut.

Sebanyak 18 negara diwakili oleh Presiden atau Perdana Menteri, manakala selebihnya pegawai kanan.


0 comments:

share2