Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 15, 2017

[KUALA KRAU] GESA PEKEBUN KECIL REBUT PELUANG


Gesa pekebun kecil rebut peluang


Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Temerloh menggesa seramai 7,698 pekebun kecil di daerah ini merebut pelbagai peluang bantuan disediakan kerajaan bagi menambah pendapatan mereka sebagai penoreh getah.

Pegawai Risda Temerloh, Mazlan Ismail berkata, selain bantuan tanam semula getah, banyak bantuan disediakan kerajaan daripada peralatan hinggalah kepada subsidi pembinaan rumah di bawah skim Rumah Bina Negara dikelolakan agensi itu.

Menurutnya, Risda Temerloh ketika ini giat mempromosikan pelbagai bentuk bantuan disediakan kerajaan kepada semua pekebun kecil getah di seluruh daerah dengan pegawai dan kakitangan akan menjelajah ke 20 kawasan kampung untuk tujuan itu.

“Pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan disediakan di bawah Risda 2018 bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil,” katanya ketika ditemui semasa program Moh Ngeteh Risda bersama penduduk Kampung Gunung Senyum di sini semalam.

Mazlan berkata, program Moh Ngeteh itu adalah siri kedua diadakan Risda Temerloh yang akan diadakan di banyak lagi kawasan kampung bertujuan memberi penerangan program-program bantuan disediakan Risda.

Menurutnya, antara program bantuan termasuklah bantuan tanaman semula getah dan aktiviti ekonomi tambahan (AET) yang mana Risda menyediakan pelbagai bantuan untuk pengusaha pertanian, industri kecil dan sederhana (IKS) dan banyak lagi.

“Bantuan disediakan kerajaan untuk program AET ini sebanyak RM20,000 bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti tambahan selain tanaman getah dalam bidang pertanian dan penternakan.

“Selain itu, Risda turut memberi skim insentif pengeluaran getah (SIPG) merangkumi pemberian baja, racun dan cuka penggalak susu getah.

“Pekebun kecil juga berpeluang menerima bantuan peningkatan produktiviti getah (PPG) dengan menerima bantuan peralatan menoreh, ini terbuka kepada semua pekebun kecil getah,” katanya.

Mazlan berkata, Risda menyarankan masyarakat untuk merebut peluang yang diberikan kerajaan.

Beliau berkata, selain bantuan utama itu, Risda turut memainkan peranan meningkatkan ilmu dalam kalangan anak pekebun kecil menerusi program tuisyen desa dan bantuan berkelompok kepada perkumpulan wanita pekebun kecil (PWPK) yang boleh menerima peralatan atau mesin memproses makanan dan sebagainya.

Menurutnya, sehingga 2013, jumlah pekebun kecil berdaftar di Temerloh adalah seramai 7,698 meliputi keluasan tanaman getah sebanyak 19,046 hektar.


0 comments:

share2