Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 3, 2017

[TEMERLOH] PILIH SALURAN BETUL, ELAK PERTINDIHAN


Pilih saluran betul, elak pertindihan


Program membina rumah penduduk miskin yang dilaksanakan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lebih sesuai dibuat secara bekerjasama menerusi hanya satu saluran.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang, DatO' Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, hal itu bagi mengelakkan pertindihan bantuan kepada mereka yang memohon dan memastikan mereka yang layak dan ada dalam senarai kumpulan sasar sahaja yang boleh menerima.

Menurutnya, saluran terbaik dan paling sesuai ialah menerusi Pejabat Daerah dan Tanah yang mana ia diselaraskan dan diselia di bawah kuasa pegawai daerah.

“Kita banyak kementerian yang bantu rakyat bina rumah seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang banyak agensi pelaksana di bawahnya malah Syarikat Perumahan Negara Berhad pun turut bina rumah untuk golongan susah ini.

“Jika dilaksanakan di bawah satu saluran, bantuan bina rumah atau baik pulih ini sudah tentu akan diterima oleh kumpulan sasaran sekali gus mudahkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program penyerahan kunci rumah di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS-7) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Kampung Paya Luas semalam.

Mohd Sharkar berkata, apa yang berlaku sekarang bantuan dari banyak kementerian dan jabatan ini kebanyakannya syok sendiri tanpa merujuk kepada pemimpin tempatan.

Beliau berkata, kalau semua agensi merujuk dengan pemimpin tempatan sudah pasti banyak kes akan berjaya diselesaikan dengan baik.

Pada majlis semalam, keluarga Kamaruzaman Yahya, 53, yang kehilangan rumah akibat terbakar tahun lalu menerima kembali sebuah rumah dibina secara gotong royong oleh anggota bomba.

Program strategi lautan biru kebangsaan ke-7 itu turut mendapat kerjasama pelbagai pihak dan masyarakat setempat sepanjang ia dibina.

Rumah bernilai RM80,000 dibina dengan kos hanya RM40,000 apabila dilakukan secara bersama bomba dan masyarakat setempat.


0 comments:

share2