Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 3, 2017

[ROMPIN] JAIP LUPUS DUA TAN ABU AL-QURAN


Jaip lupus dua tan abu al-Quran


Sejumlah dua tan abu al-Quran dilupuskan mengikut hukum syarak oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) berhampiran Pulau Sembilang yang terletak 23 batu nautika dari Tanjung Gemok, di sini semalam.

Ia membabitkan 20 kakitangan JAIP yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Timur yang menyediakan kapal Penggalang 19 dan KM Bagahak bagi tujuan berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jaip, Noridzuan Abdul Manan, berkata, abu berkenaan adalah daripada Pusat Pemulihan al Quran Pahang selepas membakarnya menggunakan mesin relau.

Menurutnya, naskah al-Quran termasuk buku-buku agama itu dilupuskan secara berperingkat sejak pertengahan 2015 selepas mesin yang dimiliki sendiri Jaip mula beroperasi.

Katanya, keputusan milikan mesin relau sendiri itu dibuat oleh Unit Penapisan Media Bahagian Penyelidikan Jaip yang bertujuan untuk menjimatkan kos melupuskan kitab suci umat Islam yang mencecah RM6 bagi setiap kilogram jika diserah kepada pihak luar.

Beliau berkata, sumber al-Quran yang dilupuskan ini banyak daripada longgokan di daerah-daerah selepas banjir teruk beberapa tahun lalu antaranya dari sekolah atau melalui Pejabat Agama Islam Daerah (Paid).

"Kita anggarkan kira-kira 13 tan al-Quran dibakar menggunakan mesin relau ini dan ia adalah kitab yang sudah lusuh atau rosak antaranya akibat banjir besar pada 2014.

"Selepas pelupusan dilakukan sendiri oleh Jaip, kita dapat menjimatkan kos, syarikat luar mungkin kenakan bayaran sekitar RM6 sekilogram, kalau 1 tan maksudnya dalam RM6,000, jadi hari ini kita dapat menjimatkan kira-kira RM78,000," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Turut serta, Ketua Pos Maritim Malaysia Tanjung Gemok, Leftenan Madya Maritim, Isaik Mahamad.

Noridzuan berkata, kesemua abu al-Quran itu dikeraskan menggunakan acuan yang ada selepas dibasahkan dengan air dan dibiarkan kering.

Dalam pada itu, pihaknya turut berterima kasih kepada Maritim Malaysia Wilayah Timur kerana membantu melancarkan proses melupuskan abu Al-Quran mengikut hukum syarak.

"Ia adalah kali pertama Jaip bekerjasama dengan Maritim Malaysia bagi tujuan berkenaan dan kita sangat menghargainya," katanya.

Sementara itu, Noridzuan berkata, pemilihan pelupusan abu Al-Quran di laut dibuat kerana ia mudah larut di air masin manakala jaraknya ditentukan oleh pihak Maritim Malaysia.

"Apabila dibuang ke laut, ia dapat menjamin kemuliaan al-Quran berbanding jika ditanam di darat seperti pernah dilakukan suatu ketika dahulu.

"Dari segi jaraknya, tiada jarak tertentu ditetapkan dan pemilihan jarak kali ini dibuat oleh Maritim Malaysia mengambil kira aspek pencemaran dan lain-lain," katanya.

Wakil Maritim Malaysia, Leftenan Madya Maritim Isaik Mahamad yang ditemui berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan Jaip bagi melancarkan proses pelupusan abu al-Quran dan buku agama.

"Kita berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa depan bagi menjaga kemuliaan al-Quran," katanya.


0 comments:

share2