Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 16, 2017

[LIPIS] LULUH HATI IBU, AYAH LIHAT DERITA QAIREEN


Luluh hati ibu, ayah lihat derita Qaireen


Setiap pasangan yang berumahtangga pasti mengimpikan cahaya mata sebagai penyeri hidup dan mengeratkan hubungan suami isteri.

Namun pasangan muda Mohammad Nursyafiq Mohd Rizal, 22 dan Fatin Nur Aisya Shahrin, 19, dari Kampung Sungai Pasu, Raub diuji dengan kelahiran cahaya mata pertama yang mengalami beberapa masalah kesihatan.

Nur Qaireen Nayla Mohammad Nursyafiq, baru berusia 42 hari disahkan menghidap penyakit lebihan cecair dalam kepala (hidrosefalus) atau lebih sinonim dengan penyakit kepala besar yang dikesan ketika dalam kandungan 34 minggu.

Lebih menyedihkan, sebaik sahaja selamat dilahirkan, doktor turut mengesahkan Nur Qaireen menghidap masalah tulang belakang terbuka (Spina Bifida) serta kecacatan di bahagian kaki kiri yang tidak berfungsi.

Ibu bayi malang itu, Fatin Nur Aisya berkata, ketika kandungannya berusia 28 minggu, doktor di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Dong merujuknya ke Hospital Lipis akibat masalah berat badan.

Fatin dan Mohamad Nursyafiq memangku anak mereka yang kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.


"Namun ketika membuat imbasan pada bayi, pakar di Hospital Lipis memaklumkan kepala anak saya besar sikit berbanding biasa sebelum merujuk kes saya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

"Ketika kandungan 34 minggu saya ke Hoshas Temerloh dan pakar di sana mengesahkan bayi yang saya kandung mengalami masalah penyakit lebihan cecair dalam kepala," katanya.

Menurutya, walaupun sedih menerima khabar tentang bayi itu, dia dan suaminya tidak putus berdoa agar bayi yang dikandungnya dilahirkan normal dan sihat seperti bayi lain.

Katanya, pada 5 September lalu, ketika usia kandungan 39 minggu, dia selamat melahirkan Nur Qaireen secara pembedahan di Hoshas Temerloh dan pakar mengesahkan ukur lilit kepala bayinya tidak normal dan bersaiz lebih besar dari kebiasaan.

"Saya ingatkan dah lega lepas lahirkan Nur Qaireen walaupun tahu bayi ini ada masalah di kepala namun berita yang dikhabarkan selepas itu lebih memeritkan.

"Doktor mengesahkan anak saya turut mempunyai masalah tulang belakang terbuka serta bahagian kaki sebelah kiri yang tidak boleh dibengkok.

"Luluh hati saya apabila mendengar khabar duka itu apatah lagi melihat penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh bayi sekecil ini.

Pada awalnya sukar untuk saya menerima hakikat tentang anak istimewa ini namun berkat sokongan dan dorongan dari ahli keluarga serta doktor akhirnya saya menerimanya sebagai takdir"katanya.

Fatin berkata, sejurus dilahirkan Nur Qaireen dirujuk ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk rawatan lanjut dan pada 10 September doktor melakukan pembedahan selama enam jam bagi menutup bahagian tulang belakang yang terbuka.

Katanya, pada 14 September satu lagi pembedahan telah dijalankan ke atas Nur Qaireen yang memakan masa hampir tiga jam bagi membuang lebihan cecair di dalam kepala.

Menurutnya, selepas selesai pembedahan itu, setiap hari doktor akan mengeluarkan lebihan cecair jernih di kepala bayinya antara 50 hingga 60 sentimeter padu.

"Namun pada 1 Oktober lalu kami sekali lagi diduga apabila Nur Qaireen menangis tidak henti-henti. Doktor memaklumkan cecair memberi tekanan kepada kepala anak saya dan doktor terpaksa buang cecair itu dua kali yang mencecah 90 sentimeter padu.

"Keesokan harinya doktor membuat keputusan untuk melakukan satu lagi pembedahan bagi memasukkan pam di bahagian telinga kanan Nur Qaireen bertujuan untuk memudahkan cecair di kepala memasuki bahagian perut sebelum dibuang melalui najis atau air kencing," katanya.

Fatin berkata, pada awal kelahiran Nur Qaireen doktor menyatakan peluang untuk hidup agak tipis namun kini dia boleh menarik nafas lega apabila dimaklumkan kesihatan anaknya semakin pulih serta harapan untuk hidup meningkatkan ke 90 peratus biarpun terpaksa bergantung kepada mesin oksigen untuk bernafas buat masa kini.

Sementara itu, Mohammad Nursyafiq berkata, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan bagi membiayai perbelanjaan perubatan serta kos ulang alik ke hospital untuk rawatan anaknya.

Katanya, semua wang simpanan juga digunakan bagi menampung kos sepanjang anaknya berada di hospital selain turut menerima ihsan daripada ahli keluarga yang membantu serba sedikit bagi meringankan beban mereka.

"Saya hanya kerja pembantu kedai makan di bandar Raub dengan gaji harian RM40 sehari. Lepas anak dimasukkan ke hospital saya jarang-jarang bekerja sebab perlu memberikan tumpuan kepada anak dan isteri di Hospital Sungai Buloh.

"Mujur juga di hospital ini ada sediakan balai pelawat dan tidak dikenakan sebarang bayaran jadi bolehlah saya menumpang tidur.

"Saya juga runsing apabila doktor bagitahu sekiranya Nur Qaireen dibenarkan keluar hospital nanti, kami perlu mengeluarkan perbelanjaan bagi membeli tiub untuk memudahkan dia membuang air kecil,"katanya.

Mohammad Nursyafiq berharap ada pihak yang sudi tampil bagi meringankan beban kos rawatan Nur Qaireen selain turut memohon doa orang ramai supaya bayinya sihat.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun CIMB Bank milik Fatin Nur Aisya Shahrin, 7607159182 atau hubunginya di talian 01126919729.


0 comments:

share2