Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 12, 2017

[KUANTAN] SULAMAN MANIK DIIKTIRAF DUNIA


Sulaman manik diiktiraf dunia


Biarpun karya sulaman maniknya telah mendapat pengiktirafan World Record Academy sebagai yang terpanjang di dunia pada 29 September lalu, namun Abdul Majid Abdul Rahman, 57, berdepan masalah mendapatkan sijil pengiktirafan tersebut secara rasmi.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Majid memerlukan kira-kira RM4,300 untuk mendapatkan sijil tersebut daripada institusi berkenaan yang berpusat di Amerika Syarikat.

Menurutnya, jumlah tersebut perlu dibayar selewat-lewatnya Oktober ini untuk memastikan kerja-keras dan usaha yang dicurah pada karya berkenaan mendapat pengiktirafan dan mengharumkan nama Pahang dan Malaysia di persada dunia.



Sulaman manik hasil karyanya yang diiktiraf terpanjang di dunia.


“Memang saya berdepan banyak masalah sebelum dapat catat rekod tersebut. Sebelum ni, untuk hantar penyertaan karya kepada pihak terbabit, saya dah bayar kira-kira RM9,000 bagi proses penilaian.

“Saya pernah kena ejek, lepas tu ada masalah kesihatan pula tapi semuanya dapat diatasi berkat kesabaran dan tawakal kepada ALLAH," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru Cherating.

Anak kelahiran Besut, Terengganu itu telah menghasilkan sulaman manik sepanjang 17.8 meter dengan kelebaran satu meter menggunakan 500,000 biji manik untuk disiapkan sepenuhnya dalam tempoh satu tahun selepas membuat kajian selama 10 tahun.

Menurutnya lagi, dia kini sedang berusaha mencari jumlah bayaran tersebut dan mengharapkan sumbangan kerajaan negeri ataupun mana-mana pihak untuk membantu dirinya agar sijil pengiktirafan itu tidak terlepas begitu sahaja.

“Ini satu peluang yang tak boleh dilepaskan. Saya dah curahkan sepenuh tenaga untuk melakar sejarah. Semua saya buat sendiri, tak ada pembantu disebabkan terlampau minat.

“Bercakap soal cabaran, memang banyak. Ia bukan saja masa menyulam malah kena patuh standard piawaian ditetapkan. Saya tak boleh ukur sendiri, mesti dilakukan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim),” katanya yang menghabiskan masa secara purata tiga atau empat jam pada waktu malam untuk menghasilkan sulaman tersebut.

Jelasnya, dia bersyukur pengiktirafan itu membuktikan kehebatan orang Timur diiktiraf Barat selain memahat nama negara di persada antarabangsa.

Menceritakan penglibatannya dalam arena seni, Pak Majid mengakui ia bermula sejak zaman persekolahan pada 1977 dan dalam tempoh kira-kira 41 tahun itu, menuntut usaha keras dan pengorbanan.

Sementara itu, bapa kepada lapan cahaya mata itu mengakui pernah hampir berputus asa sepanjang menghasilkan karya tersebut.

“Saya ditimpa sakit belakang dan hampir putus asa. Saya tawakal saja. Alhamdulillah segala-galanya jadi mudah lepas tu. Memang kekuasaan ALLAH melebihi segala-galanya,” jelas pemegang rekod untuk sulaman terpanjang di Malaysia dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2005 itu lagi.

Ditanya tentang perancangan, Pak Majid berhasrat menunaikan ibadah haji dan hanya menunggu giliran setelah membuat permohonan ke Lembaga Tabung Haji sejak 2010.


0 comments:

share2