Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 12, 2017

[KUANTAN] PELAJAR CIPTA ALAT KESELAMATAN


Pelajar cipta alat keselamatan


Kes kecurian motosikal yang banyak berlaku memberi idea kepada dua pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Semambu untuk mencipta inovasi alat keselamatan Smart Rider Helmet.

Pelajar tersebut, Muhamad Syafiee Muhamad Sarif, 20, berkata, alat itu menjadikan klip pada topi keledar sebagai suis yang akan menghalang daripada enjin motosikal dihidupkan oleh pencuri.

Menurutnya, enjin motosikal tidak dapat dihidupkan selagi klip pada topi keledar tidak dilekatkan dengan sempurna.

“Sistem ringkas yang dibina diletakan pada topi keledar dan motosikal dengan menggunakan bateri bersaiz kecil mampu bertahan dalam tempoh beberapa bulan.

“Projek ini dibangunkan bersama rakan Muhammad Ryan Iskandar A Tarmizi, mengambil masa sebulan untuk disiapkan,” katanya selepas dinobatkan sebagai pemenang terbaik keseluruhan Program Inovasi, Pelancaran Produk Baharu dan Keusahawanan (INNOPLEN) 2017.

Program dirasmikan Naib Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang, Mohd Yusri Omar di Dewan Makmur POLISAS, semalam.

Hadir sama Pengarah Polisas, Norlida Abd Razak.

Smart Rider Helmet yang hanya menelan kos RM150 untuk dihasilkan turut berperanan sebagai penyelamat nyawa kepada penunggang dan pembonceng motosikal kerana sekiranya topi keledar tidak diklip dengan sempurna motosikal tidak dapat dihidupkan.

Sebanyak 19 produk baharu membabitkan dua kategori dipertandingkan pada INNOPLEN 2017 yang diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat serta menilai kebolehan pelajar Polisas.

Bagi Muhammad Ryan Iskandar, 20, berkata, melalui Smart Rider Helmet ini penunggang dan pembonceng perlu memakai topi keledar bagi memastikan enjin motosikal dapat dihidupkan.

“Kami sedia bekerjasama dengan syarikat yang berminat mengkomersialkan Smart Rider Helmet menjadi antara aksesori pada motosikal sekali gus memastikan kes kecurian dapat dikurangkan.

Pelajar semester lima itu berkata, dia juga berhasrat menghasilkan lebih banyak produk keselamatan untuk digunakan pada kenderaan, rumah dan pejabat yang dapat mengelak kejadian kecurian.

Sementara itu, Norlida berkata, dia berpuas hati dengan kejayaan dilakukan pelajar yang menghasilkan 19 produk baharu kategori teknikal dan bukan teknikal iaitu makanan.

“Saya berharap lebih banyak produk baru dapat dihasilkan seterusnya dapat dikomersialkan untuk kegunaan tempatan dan antarabangsa,” katanya.


0 comments:

share2