Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 17, 2017

[KUANTAN] JBPM BERI PENGHARGAAN KEPADA PEMIMPIN PAHANG


JBPM beri penghargaan kepada pemimpin Pahang


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi penghargaan kepada pemimpin di negeri ini dengan penganugerahan tanda pangkat kehormat kepada Menteri Besar Pahang dan 12 Exconya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, Dato' Sri Adnan Yaakob mendahului pemakaian tanda pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) manakala 12 Exco menerima tanda pangkat timbalan pesuruhjaya bomba (kehormat).

Menurutnya, penghargaan itu diberikan di atas komitmen kerajaan negeri yang prihatin terhadap kejadian bencana di negeri ini.

"Pahang adalah negeri ketiga menerima tanda pangkat ini dan paling ramai iaitu membabitkan semua exco.

"Sebelum ini Perak dan Melaka sudah menerima tanda pangkat ini,"katanya kepada media selepas Majlis Penganugerahan Tanda Pangkat Bomba, semalam.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Wan Mohd Nor berkata, pihaknya menghargai sumbangan dan kerjasama kerajaan negeri kepada JBPM Pahang terutama ketika berdepan bencana.

Katanya, bencana banjir dan kebakaran antara paling banyak penglibatan pemimpin yang membantu.

"Selain itu, banyak program bersama yang dilaksanakan dengan sokongan kerajaan negeri.

"Malah Menteri Besar juga meluluskan tapak bagi pembinaan lebih banyak balai bomba di negeri ini secara tidak langsung meningkatkan mutu kebombaan sedia ada,"katanya.


0 comments:

share2