Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 14, 2017

[KUANTAN] JANGAN SOROK PENAGIH DADAH


Jangan sorok penagih dadah


Ibu bapa dan komuniti setempat diingatkan supaya tidak menyembunyikan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah sebaliknya perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Adun Panching, Dato' Mohd Zaili Besar berkata, kerjasama sedemikian amat penting supaya dapat mengekang masalah dadah di Felda dan lokasi yang berisiko.

Menurutnya, usaha mencegah penyalahgunaan dadah perlu dijalankan sejak awal terutama di peringkat sekolah.

“Dengan pelbagai cabaran dan pengaruh yang ada, tidak mustahil anak-anak mudah terdedah dengan najis dadah.

“Justeru, ibu bapa yang mengetahui penglibatan anak-anak dengan dadah disarankan supaya melaporkan kepada pihak berkuasa. Begitu juga dengan masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan Program Pencegahan Jenayah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan dan Polis Diraja Malaysia di Felda Panching Utara, semalam.

Mohd Zaili berkata, tindakan pihak berkuasa turun padang melakukan pencegahan dan operasi perlu diterima baik oleh semua pihak.

Katanya, walaupun isu dadah sukar untuk dihapuskan namun usaha melalui pelbagai agensi perlu dipuji.

“Malah isu ini turut menarik perhatian Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melahirkan kebimbangan dengan penyalahgunaan dadah yang berlaku.

“Saya harap, semua pihak memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memudahkan mereka mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Pada program itu, pameran pendidikan dadah dan ceramah kesedaran turut diadakan.


0 comments:

share2